Monday, 6 January 2014

Kayuhan Redah Offroad ~ Gertak Sanggul - Pulau Betong : 5 January 2014

Selamat tahun baru kepada semua rakan-rakan kayuhan V34 dan juga kepada pengujung blog V34 Cycling Team. Semoga tahun 2014 lebih baik dan bermakna untuk kita sama-sama harungi kehidupan serta juga kayuhan tetap diteruskan.

Kayuhan pertama bagi tahun 2014 terhasil dari kayuhan santai ke Gertak Sanggul oleh penulis dan juga Ad pada minggu sebelumnya iaitu petang 2 Jan 2014 dimana kami mencari jalan masuk ke offroad naik ke Bukit Gertak Sanggul. Sedikit maklumat yang dapat dikumpulkan dari rakan-rakan kayuhan dari group yang lain, mengenai laluan dari Gertak Sanggul ke Pulau Betong, kami pon mengatur satu kayuhan offroad untuk rakan-rakan V34CT yang berkelapangan pada 5 Jan 2014.

Seperti biasa, kami memilih Restoran Dinas Sg Ara sebagai lokasi tempat berkumpul dan tempat memulakan kayuhan. Seawal 7 pagi kami berkumpul disitu, Ad, Abg Din paling awal sampai diikuti dengan penulis, Jijan & lisa, Hafiz, Sahar & Siti dan akhir sekali Pak Husin dan Shahrul. Lebih kurang jam 7.30 pagi kami sepuluh orang pon memulakan kayuhan dari Sg ara menuju B Lepas - Sg Batu dan terus saja membelok masuk ke Gertak Sanggul.

Dah sampai Gertak Sanggul dekat dengan jeti kayu/kawasan nelayan

Kayuhan dari Sg Ara ke Gertak Sanggul dianggarkan lebih kurang 50 minit. Agak perlahan memandangkan dalam kayuhan kali ini kami mengikut rentak kayuhan rakan baru Sahar & Siti. Cateye meter penulis mencatatkan lebih kurang 13KM setelah sampai di Gertak Sanggul. Setelah berehat seketika dikaki bukit Gertak Sanggul kami tersentak apabila melihat tayar belakang jentera Lisa tiba-tiba kempis. 

Rasanya inilah kali pertama kayuhan V34CT mendapat cabaran sebegini. Kebetulan pula ketika kejadian itu satu group kayuhan yang lain tiba disitu dan cuba membantu. Tanpa berlengah, kami sama-sama bergotong royong membantu menukarkan tiub tayar yang pancit. Jijan mengeluarkan tiub tayar gantian yang dibawa dan kelihatan saiz tiub tayar gantian yang dibawa agak kecil dari saiz lubang rim asal. Ketika itu seorang rakan kayuhan dari group yang baru sampai tadi menghulurkan bantuan dengan menukar tayar gantian yang sama saiz kepada kami. Semangat tolong menolong antara rakan kayuhan sebegini adalah menjadi adat kebiasaan yang boleh kita lihat dalam dunia MTB. Penulis paling kagum semangat hormat-menghormati serta bantu-mambantu ini mengatasi segala berbezaan bangsa dan budaya. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kayuhan tersebut yang sudi membantu.

Seorang dari rakan kayuhan group lain yg menghulurkan bantuan tayar gantian
(sorry lupa nak tanya nama group.. anyway thanks bro!)

                                      
Gotong royong membuka & menukarkan tayar pancit 


Penulis & Jijan menunjukan hikmat menge'pam tayar


Jangan tak percaya.. paku sepanjang 2 inchi punca tayar lisa pancit


Selesai menukar tayar basikal Lisa dan siap memasangnya kembali, Pak Husin pula merasakan tayar hadapan beliau kurang angin. Bila dipam sepenuhnya tetap masih kurang angin dan seterusnya bila kedengaran angin yang keluar ketika tiub tayar digoyang, kami pasti tiub tayar Pak Husin pula bocor. 

Kali ini kami rasa kayuhan Pak Husin mungkin sampai disini saja kerana antara kami semua, tiada tayar gantian yang dibawa. Rakan kayuhan group yang lain tadi sudah beredar lama dari situ untuk kami meminta bantuan. Tiba-tiba sepasang rider suami istaeri yang baru turun dari offroad Gertak Sanggul singgah dan sudi menghulurkan tayar gantian kepada kami. Syukur Alhamdulillah, cabaran kedua untuk kayuhan kali ini berjaya diatasi. Lagi sekali kami bergotong-royong membuka dan menukarkan tayar gantian basikal Pak Husin.

Hafiz & Shahrul membantu Pak Husin menukar tayar gantian


Dengan rasminya dikalungkan tayar yang pancit kepada Pak Husin & Lisa... kih kih kih..!


Dah selesai dengan masalah 2 jentera tayar pancit kami terus saja mendaki Bukit Gertak Sanggul. Jam menunjukan lebih kurang 9.00 pagi ketika kami mula masuk ke laluan offroad dan mendaki bukit. Lebih kurang 1.7KM mendaki kami berhenti seketika untuk berehat.

Check point pertama laluan offroad Gertak Sanggul

Lebih kurang 10 minit berehat kami meneruskan kayuhan mendaki laluan offroad Gertak Sanggul menuju Pulau Betong Balik Pulau. Laluan offroad yang kami tempuhi setakat ini tidak terlalu sukar kerana ada laluan yang bersimen dan agak luas. Terdapat pekebun bermotosikal yang melalui laluan tersebut dan mudah saja bagi kami ketepi tanpa berhenti dengan selamat. 

Kayuhan dibawah redupan pohon-pohon pokok dikiri kanan laluan sedikit melegakan jika dibandingkan kayuhan onroad yang berpanas terik. Biarpun perlahan kayuhan mendaki kami, akhirnya kami sampai di satu laluan puncak bukit yang terbuka luas permandangan ke laut lepas. Disini kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan sambil berehat sebelum meneruskan kayuhan.

Pak Husin menjulang jentera .. jgn jatuh gaung sudah.. 
~  Sahar tersenyum dgn posing Pak Husin dibelakang

Gambar berkumpulan.. terbaik V34CT


Shahrul meniru gaya Pak Husin... hehehe trademark GAB 


Penulis bergambar bersama Abg Din (jersey GoRide merah)


Penganjur terbaik kayuhan offroad Gertak Sanggul - Ad


Sedikit ragu-ragu dengan laluan seterusnya dari laluan permandangan indah tersebut, kami menunggu sekiranya terdapat rider yang tiba dari arah bertentangan untuk memberikan arah laluan yang betul ke Pulau Betong. Sementara menunggu, Ad & Shahrul mendaki keatas laluan berhampiran rumah pekebun yang ada disitu bagi meninjau sekiranya ia laluan yang betul. Manakala Hafiz, Abg Din, Lisa dan Jijan mengambil laluan sempit belukar dihadapan dan menunggu disitu. Kemudian 2 rider tiba dari laluan yang diambil Lisa, Jijan, Hafiz dan Abg Din. Mereka memberitahu laluan yang mereka lalui itu akan membawa kami ke Pulau Betong. Dengan tidak membuang masa kami berkomunikasi dengan radio (channel V27) dan memberikan maklumat kepada Ad & Shahrul supaya berpatah balik. Kami menyusuri laluan offroad yang agak mecabar bermula dari permandangan indah itu. Laluan satu lorong, terdapat belukar dikiri kanan laluan dan ada ketikanya laluan satu lorong berselekoh ditebing bukit membuatkan kami lebih berhati-hati. 

Kayuhan offroad yang mencabar ini membawa kami ke satu laluan yang mana kami semua terpaksa menolak jentera masing-masing kerana laluan tersebut berbatu-batu dan berlubang. Mungkin inilah yang diberitahu oleh rider yang kami jumpa sebelum mendaki naik lopak batu yang terhasil oleh aliran air ketika hujan lebat tidak lama dulu. Lebih kurang 250 meter kami menolak jentera melepasi laluan berbatu-batu dan berlopak. Kami seterusnya meneruskan kayuhan naik dan turun laluan sempit offroad hingga sampai melepasi satu dusun durian dan kami berehat disitu.

Laluan melepasi dusun durian.. kat sini banyak pokok buah pala

Mungkin masing-masing kepenatan kami lupa untuk mengambil gambar laluan seterusnya hingga sampai ke kaki bukit Pulau Betong. Kayuhan kami dari checkpoint dusun durian ke kaki bukit Pulau Betong dianggarkan lebih kurang 3-4KM. 

Kayuhan di Pulau Betong menuju Pekan Simpang Empat tergendala sebentar. Tayar belakang jentera penulis pula kelihatan kekurang angin. Kami berhenti dan cuba melihat kalau-kalau ada benda atau sesuatu yang menusuk tayar basikal penulis. Kerana tidak menjumpai apa-apa, penulis mengepam semula tayar belakang dan meneruskan kayuhan hingga sampai ke Pekan Simpang Empat dan cuba mencari kedai basikal yang terletak disitu. Sedikit hampa kerana ternyata kedai basikal tutup pada hari itu. Rakan-rakan kayuhan yang lain terus saja ke kedai serbaguna bagi mengisi semula bekalan air dan mungkin juga mengalas perut masing-masing. Penulis tidak membuang masa terus saja menghubungi bantuan rakan kayuhan dari GTB Balik Pulau setelah melihat tayar belakang terus saja kempis tiada angin. 

Bantuan hadir agak lewat kerana rakan kayuhan GTB Balik Pulau ada aktiviti kayuhan hari itu. Pak Husin, Hafiz, Ad, Abg Din, Sahar & Siti, Jijan & Lisa dan Shahrul meneruskan kayuhan ke Bukit Genting dan akan menunggu penulis hingga selesai menukar tayar. Lebih kurang sejam kemudian penulis sampai ke puncak Bukit Genting dengan bantuan rakan kayuhan GTB Balik Pulau. Disitu penulis dapati Hafiz, Sahar & Siti telah meneruskan kayuhan dan mungkin telah selamat tiba ke base station masing-masing. Yang masih menunggu cuma Ad,Shahrul, Abg Din, Pak Husin, Jijan & Lisa dan kami terus saja meneruskan kayuhan menuruni Bukit Genting menuju Bayan Lepas dan akhirnya berpecah di persimpangan Bayan Lepas - Sg Ara. Anggaran kayuhan kali ini 38KM dan masa yang dihabiskan lebih kurang 5 jam namun pengalaman susah payah ini akan sentiasa terpahat di ingatan. Semoga bertemu lagi di kayuhan yang akan datang. Syabas V34CT !...









No comments:

Post a Comment