Seperti yang telah dirancangkan seminggu sebelumnya, Gunung Jerai seterusnya akan menjadi destinasi bagi rakan-rakan V34CT membuat kayuhan mingguan. Oleh yang demikian, malam sebelum kayuhan kami semua (Ad, Pak Husin, Opie, Jijan & Lisa, Yusrizam & Wan, Sham) telah menyiapkan kelengkapan dan membuat persediaan terlebih dahulu seperti memuatkan jentera dan lain-lain kelengkapan kayuhan ke dalam kenderaan. Ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah di saat akhir serta ia juga dapat mengelakkan kami dari kelewatan dari masa yang telah dirancang untuk berkonvoi bersama-sama.
Ad & Pak Husin ( car pool) - Siap memuatkan jentera didalam kenderaan pd malam sebelum kayuhan.
Alhamdulillah penulis dan rakan-rakan dapat menepati jangka masa yang dirancang. kami berkumpul seawal jam 5.30 pagi di Tol Sungai Dua Kepala Batas. Konvoi 5 kenderaan MPV mula bergerak dari Tol Sg Dua hingga ke susur keluar Tol Gurun dalam gelap pagi yang dingin. Konvoi kami berjalan lancar dan mudah kerana dilengkapi Radio aka Walkie Talkie sebagai alatan komunikasi ketika konvoi. Konvoi kemudian berhenti sekejap selepas Tol Gurun untuk berbincang tentang lokasi untuk bersolat subuh dan bersarapan sebelum kayuhan. Dari situ, Yusrizam & Wan yang berkongsi 1 kereta mengetuai konvoi dari situ membawa kami ke Pekan Guar Chempedak memandangkan mereka lebih arif akan selok-belok kawasan Pekan Guar Chempedak.
Konvoi MPV ke Gunung Jerai ~ 4 Livina & 1 Citra
Kami sampai di kawasan kaki Gunung Jerai yang mempunyai Surau dan tempat letak kereta, tetapi kami memilih untuk teruskan perjalanan ke Pekan Guar Chempedak seperti yang telah dirancang. Lebih kurang jam 6.20 pagi kami sampai di Masjid Al-Wusta Guar Chempedak. Kami sempat menunaikan solat subuh berjemaah disitu dan selepas itu kami mencari lokasi untuk bersarapan di kawasan berdekatan. Kami berjumpa dengan Gerai Mak Su yang terletak tidak jauh dari Masjid Al-Wusta, disitu kami bersarapan bagi mengalas perut sebelum kayuhan.
Pada jam 7.30 pagi kami kemudian bergerak menuju ke tapak letak kereta Gunung Jerai. Sesampainya disitu kami tidak membuang masa, lantas mengeluarkan jentera dari dalam kenderaan, menyiapkan dan membetulkan jentera masing-masing. Tidak lupa juga melepaskan hajat kecil dan besar sebelum memulakan kayuhan, tandas awam berhampiran surau menjadi serbuan rakan-rakan V34CT.
Selesai sudah dengan persiapan jentera dan melampiaskan hajat, kami semua bergambar kenangan di kaki Gunung Jerai.
Bergambar dikaki Gunung Jerai.. dari kiri : Opie, Jijan, Lisa,
Fahmi aka Pak Husin, Yusrizam, Wan dan Ad.
Ketika menunggu rakan-rakan untuk bergambar, baru disedari yang seorang rakan telah lesap meninggalkan kami. Sham dengan gelaran baru "Sham BMC" tiada bersama kami ketika bergambar kerana beliau telah memulakan kayuhan. Selesai bergambar kami bersama-sama berdoa dan terus saja memulakan kayuhan lebih kurang jam 8.30 pagi.
12KM kayuhan mendaki dari kaki Gunung Jerai.
Syukur Alhamdulillah, keadaan cuaca sangat baik pada hari tersebut. Walaupun pada awal paginya ketika berkonvoi kesini kami meredah sedikit hujan renyai sebelum sampai ke Gurun, kami berharap lokasi di Gunung Jerai tidak hujan. Yang kami bimbangkan jika hujan, jalan atau trek basah dan licin akan membuatkan kayuhan kami lebih perlahan dari biasa kerana lebih berhati-hati takut tergelincir ketika kayuhan. Namun semua jangkaan kami itu tidak berlaku, cuaca cerah sangat memihak kepada kami yang berhajat untuk menawan puncak Gunung Jerai hari itu.
Diawal kayuhan kami lebih kurang 2 kilometer yang pertama, kami menemukan ramai pengunjung lain yang turut sama beriadah disitu. Ada yang berjogging dan ada juga rider-rider lain membuat kayuhan mingguan mereka sama seperti kami. Sudah menjadi adat bagi setiap rider, kami bertegur sapa antara satu sama lain. Sempat juga kami bersembang pendek ketika sama-sama berhenti dipondok rehat yang disediakan ditepian laluan ke puncak Gunung Jerai.
Sham BMC & Ad rider kuat V34CT yang sampai dulu ke checkpoint pertama (4KM).
Penulis, Sham & Ad bergambar sambil menunggu rakan-rakan lain.
Meter cateye penulis mencatatkan lebih kurang 4KM jarak dari kaki Gunung Jerai bila sampai ke checkpoint pertama berdekatan pondok rehat yg disediakan. Ad, Sham BMC dan penulis sampai dulu disitu dan memanggil rakan-rakan lain dengan radio berfrekuensi dalam channel V27. Disitu kami mendapat maklum balas dari Yusrizam yang beliau tak dapat meneruskan kayuhan kerana kekejangan otot. Beliau memaklumkan akan berehat dibawah kaki Gunung Jerai dan menunggu kami menyudahkan kayuhan. Fahmi aka Pak Husin, Lisa & Jijan masih meneruskan kayuhan walaupun kepenatan dan berhenti beberapa kali dibelakang Wan. Checkpoint pertama telah memberikan gambaran kepada kami cabaran yang menanti 8KM dihadapan untuk sampai ke puncak Gunung Jerai.
Semuanya telah tiba di checkpoint yang pertama kecuali Yusrizam. Kami berehat lebih kurang 15-20 minit sebelum meneruskan kayuhan mendaki ke checkpoint kedua iaitu pada jarak 8KM dihadapan. Kayuhan dengan gear paling rendah, perlahan dan lebih fokus kepada imbangan ketika mana selekoh patah dan curam sepanjang laluan mendaki adalah sangat mencabar. Semangat untuk sampai dipuncak tetap berkobar-kobar ketika itu bila mana kami berselisih dengan para rider yang turun dari puncak Gunung Jerai.
Checkpoint kedua jarak 8KM dari kaki Gunung Jerai
Ketika penulis dan Ad sampai di Checkpoint yang kedua iaitu jarak 8KM dari kaki Gunung Jerai, Sham BMC telah teruskan kayuhan ke Muzium Perhutanan manakala Wan, Fahmi aka Pak Husin, Lisa & Jijan masih lagi ketinggalan dalam jarak 1-2KM dibelakang. Sambil berehat dan menghilangkan dahaga disitu, kami memanggil dengan radio dan mendapatkan status lokasi dan keadaan masing-masing. Jam ketika itu menunjukan lebih kurang 10.15 pagi dan setelah penulis dan Ad menghilangkan penat lebih kurang 15 minit kami meneruskan kayuhan ke Muzium Perhutanan.
Muzium Perhutanan terletak 9KM dari kaki Gunung Jerai
Sham, Opie & Ad bergambar di Muzium Perhutanan Gunung Jerai
Lebih kurang 1KM kayuhan, Ad dan penulis sampai di Muzium Perhutanan Gunung Jerai. Disitu kami disambut oleh Sham BMC yang telah sampai disitu awal lagi. Kami menunggu rakan-rakan lain disitu sebelum meneruskan baki kayuhan 3KM untuk sampai ke puncak. Wan dan Pak Husin sampai tidak lama selepas itu tanpa Jijan & Lisa yang ketinggalan jauh di belakang. Sedang kami menunggu kelibat Jijan dan Lisa, rider lain sampai disitu dan kami bertanyakan tentang Jijan & Lisa sekiranya mereka ada ternampak sebelum sampai disini. Mereka memberitahu bahawa Jijan & Lisa sedang berehat lebih kurang 2KM dibelakang dan masih meneruskan kayuhan.
Jam menunjukan 11.15 pagi bila kami manyambung kayuhan dari Muzium Perhutanan Gunung Jerai ke puncak Gunung Jerai. Terlebih dahulu kami telah maklumkan pada Jijan & Lisa melalui radio yang kami akan menunggu mereka di puncak Gunung Jerai. Maka dengan sisa tenaga yang ada Ad, Sham, Wan, Fahmi dan penulis meneruskan kayuhan mendaki ke puncak Gunung Jerai.
Akhirnya tepat jam 12.00 tgh hari kami berjaya sampai ke puncak Gunung Jerai. Perasaan puas tergambar di raut wajah masing-masing. Kami membuat rondaan disekitar Regency Jerai Hill Resort dan menikmati permandangan indah kearah sawah bendang dan laut yang luas terbentang.
Yeaaa! dah sampai puncak Gunung Jerai - Ad
Wan, Opie, Sham & Ad bergambar dihadapan batu penanda Puncak Gunung Jerai
Bergambar dihadapan Regency Jerai Hill Resort
Lagi aksi GoPro dari Ad dan rakan-rakan V34CT
Subhanallah... Indah sungguh permandangan dari puncak Gunung Jerai.
Penulis dan rakan-rakan yang sampai dahulu mengambil peluang bergambar dihadapan batu penanda aras ketinggian Puncak Gunung Jerai. Masing-masing tidak melepaskan peluang bergaya untuk menghasilkan profile picture untuk di'upload' masuk dalam facebook barangkali. Di ketinggian 986 meter dari aras laut, angin yang menyapa kami terasa sejuk walaupun sang mentari memancar terik ketika itu. Seketika kemudian kedengaran panggilan radio dari Fahmi aka Pak Husin yang telah sampai ke puncak dan bertanyakan lokasi kami. Beliau lalu terus mendapatkan kami dihadapan batu penanda aras ketinggian Gunung Jerai.
Dah puas bergambar di Checkpoint terakhir ini kami habiskan masa menunggu Jijan & Lisa di Puncak Kedah Restoran. Tiba-tiba Abg Din hadir menambahkan keceriaan suasana dipuncak Gunung Jerai apabila beliau membuat singgahan dari kampung halaman beliau di Changlon. Dalam perjalanan berkereta naik ke pucak Gunung Jerai Abg Din sempat bertemu Yusrizam dikaki Gunung Jerai sedang berehat manakala Jijan & Lisa tidak jauh lagi akan sampai ke puncak Gunung Jerai.
Melepak di Puncak Kedah Restoran
Bergambar bersama Abg Din yang baru tiba
Kepuasan terpancar dari wajah rakan-rakan V34CT
Lebih kurang 30 minit kemudian Jijan & Lisa sampai ke puncak memanggil kami melalui radio. Jijan dan Lisa terus saja menyertai kami di Puncak Kedah Restoran terus saja memesan minuman.
Penat lelah berbaloi bila sudah sampai ke puncak Gunung Jerai
Sudah puas melayan kami di puncak Gunung Jerai, Abg Din meminta diri untuk meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya di Seberang Jaya. Sedutan terakhir minuman berupa Ais Kacang dan Cendol masing-masing menandakan kami sudah sedia untuk menamatkan kayuhan hari ini. Sebelum menuruni Gunung Jerai kami mengambil gambar kumpulan di puncak Gunung Jerai.
Gambar terakhir sebelum turun dari puncak Gunung Jerai.
Kami menuruni puncak Gunung Jerai pada jam 1.20 tgh hari. Perjalanan turun agak lancar dan kami hanya perlu berhati-hati mengawal brek ketika mendekati selekoh tajam yang curam. Kami semua selamat sampai di kaki Gunung Jerai jam 1.45 tgh hari. Sesampainya di situ kami menyimpan jentera dan kelengkapan kayuhan kedalam kenderaan masing-masing dan bersiap-siap untuk pulang. Penulis dan rakan-rakan kayuhan yang telah beredar meninggalkan kawasan letak kereta di kaki Gunung Jerai masih terbayang keindahan suasana dan permandangan indah dari Puncak Gunung Jerai. Dari jauh puncak Gunung Jerai kami lihat seolah menggamit kami untuk membuat kayuhan ulangan suatu hari nanti. Sampai berjumpa lagi dikayuhan akan datang. Mulakan kayuhan dengan satu rengkuhan.... Syabas V34CT...!
Untuk melihat gambar-gambar yang lebih menarik. Sila layari link berikut :
https://www.facebook.com/groups/V34CT
No comments:
Post a Comment