Monday, 11 January 2016

V34CT Comeback!! ~ 2016

Bismillahirahmanirahim... Alhamdulillah syukur dengan limpah kurniaNya, penulis masih diberikan kesempatan untuk meneruskan coretan aktiviti riadah dan perkongsian pengalaman rakan-rakan kayuhan V34CT. Hampir lebih setahun rakan-rakan kayuhan V34CT menyepikan diri, masing-masing sibuk dengan kerjaya & komitmen keluarga. Kini rakan-rakan kayuhan V34CT membuat kemunculan semula untuk tahun 2016. Harapan penulis agar aktiviti riadah berbasikal antara rakan-rakan kayuhan V34CT akan terus berjalan dari minggu ke minggu.

10 Jan 2016, Ahad dan seawal jam 7.00 pagi penulis telah berkayuh dengan seorang rakan kayuh baru, iaitu saudara Jai. Kami berkayuh dari Bukit Jambul menuju Restoran Dinas Sg Ara yang menjadi tempat perjumpaan semua rakan-rakan kayuhan V34CT. Menghampiri lampu isyarat dihadapan Sek Men Sg Ara, terdengar perbualan antara Wan GLP dan Pak Husin HUL di handy yang penulis bawa. Tahulah penulis, bahawa Wan GLP dan Alon SNM sudah sampai lebih awal di Restoran Dinas. Mereka berkereta membawa jentera masing-masing dari Georgetown.

Penulis dan Jai sampai di kawasan tempat letak kereta berhadapan Restoran Dinas lebih kurang 7.20 pagi. Kelihatan Wan GLP & Alon SNM sedang sibuk mengeluarkan jentera dari dalam kereta dan siap sedia untuk menyiapkan basikal masing-masing. Sejurus kemudian Ad NLA tiba yang berkayuh dari rumah di Desa Bayan Lepas. Tidak lama kemudian, Abg Din LWZ sampai dari Seberang Jaya dan cepat-cepat mengeluarkan basikal dari dalam kereta dan penulis membantu Abg Din LWZ menyiapkan basikal beliau. Akhir sekali Abg Salim SPG sampai dan di ikuti Pak Husin HUL yang hanya bermotosikal. Pagi itu, Pak Husin HUL tidak dapat turut serta kerana basikal beliau mengalami kerosakan kecil. Namun atas semangat rakan-rakan V34CT yang ramai turun dan kembali untuk meneruskan aktiviti kayuhan, beliau datang menjenguk rakan-rakan di situ.

Berkumpul di Restoran Dinas Sg Ara Jam 7.30
Dari kiri : Jai , Pak Husin HUL, Ad NLA, Alon SNM, Penulis & Abg Din LWZ

Jam 7.45 pg, Kayuhan dimulakan dari Restoran Dinas Sg Ara
Dari Kiri : Pak Husin HUL, Wan GLP, Abg Salim SPG, Alon SNM dan Ad NLA


Jam 7.45 pagi, kayuhan dimulakan dari Restoran Dinas Sg Ara. Kami seramai 7 orang mula mengayuh santai ke arah Bayan Lepas. Trafik pagi ahad tidak sesibuk hari biasa, jadi kayuhan kami lancar mengharungi jalan utama Bayan Lepas dan terus menyusuri jalan ke Sungai Batu. 

Rakan-rakan kayuhan V34CT melewati Bayan Lepas ke Sg Batu


Terpaksa lebih berhati-hati, jalan utama masih belum siap sepenuhnya. 
Lokasi di jalan Bayan Lepas ke Sg Batu


Kami meneruskan kayuhan tanpa henti hingga sampai ke Gertak Sanggul. Setibanya kami memasuki selekoh kiri ke Gertak Sanggul, keadaan trafik mulai reda sepanjang kayuhan hingga sampai ke perkampungan nelayan cina. Jam penulis menunjukan angka 8.30 pagi ketika sampai di kampung nelayan cina Gertak Sanggul. Seperti biasa, kami akan bergambar ditepi laut berdekatan jeti kayu yang usang. 

Aksi bersahaja dihadapan kamera GoPro Ad NLA


Ini pula gambar hasil dari kamera GoPro Abg Din LWZ

Penulis juga sempat "selfie" dengan Alon SNM & Abg Salim SPG


Kami teruskan kayuhan, menuju ke satu lorong yang membawa kami ke kaki bukit Gertak Sanggul. Bermula dari situ, kami akan kayuh mendaki bukit Gertak Sanggul atas satu jalan sempit tetapi berturap. Jalan atau laluan tersebut bukan asing bagi penduduk Gertak Sanggul mahupun pengayuh basikal MTB kerana itu merupakan salah satu laluan jamboree dan ia juga merupakan jalan bagi kaki pancing dan pekebun disitu. Kami perlu lebih berhati-hati dan fokus terhadap kayuhan mendaki kerana sekitar laluan sebelah kiri merupakan curam bukit dan sebelah kanan laluan adalah tebing bukit. 30 minit kemudian menghampiri selekoh laluan offroad dan menghentikan kayuhan untuk berehat sebentar dan berkumpul semula.

Laluan hujung kampung yang membawa ke kaki bukit Gertak Sanggul


Selekoh atau tempat perhentian kedua sebelum sampai ke Permandangan Indah Gertak Sanggul


Antara laluan offroad yang kami redah sekitar bukit Gertak Sanggul


Tidak berehat terlalu lama, kami teruskan kayuhan perlahan mendaki dihadapan hingga sampai ke kawasan terbuka. Bermula dari laluan kawasan terbuka itu kayuhan terasa sedikit mudah kerana laluan yang landai dan menuruni bukit. Kayuhan kami tiba-tiba sampai ke kawasan tebing bukit yang terbuka dan menghadap laut. Rupanya kami telah sampai ke permandangan indah Bukit Gertak Sanggul menghadap laut dan disitu kelihatan jelas sekali sebuah pulau kecil iaitu Pulau Betong. Kami menikmati permandangan indah dan menghirup udara segar sambil melepaskan penat disitu. Seperti yang telah kami rancang, permandangan indah Gertak Sanggul adalah destinasi kami hari itu. 

Bergambar di permandangan indah Gertak Sanggul


Batu besar yang menjadi tugu bagi rider yang sampai di situ


Melepaskan penat sambil bergurau senda dengan rakan-rakan V34CT


" V34CT was here " Gertak Sanggul



Kami kemudianya berpatah balik dari permandangan indah Gertak Sanggul dan menyusuri jalan yang sama untuk kembali ke Restoran Dinas Sg Ara. Jam menunjukan 10.35 pagi kami berjaya sampai di Restoran Dinas. Abg Din LWZ, Alon SNM dan Wan GLP siap sedia menyimpan basikal masing-masing didalam kereta. Ad NLA terus saja pulang ke rumah dan kembali dengan motosikal ke Restoran Dinas. Abg Salim SPG akhir sekali sampai dan turut menyimpan kembali jentera fullsus beliau diatas rak basikal beliau diatas kereta. 

Kelihatan ramai rider lain yang memenuhi ruang Restoran kami memilih untuk menunggu dahulu sehingga ada meja yang kosong. Dan ketika kami dapat meja yang telah pelanggan lain kosongkan, jam sudah menunjukkan 11.00 pagi. Kami memesan minuman dan makanan, sambil itu kami bertukar-tukar cerita tentang kayuhan yang lalu. Kami beredar lebih kurang jam 12.00 tengah hari dan masing-masing tersenyum dengan pengalaman dan kemunculan semula V34CT. Minggu hadapan rakan-rakan V34CT akan teruskan kayuhan. Moga tahun 2016 menjadi saksi kebangkitan semangat rakan-rakan kayuhan V34CT. 

Sekian dahulu coretan ringkas dari penulis pada entri pertama untuk tahun 2016. Ayuh teruskan kayuhan. Sampai berjumpa lagi. Terima kasih dari penulis "Opie - OPI".




Untuk lebih banyak gambar yang menarik sila layari :












No comments:

Post a Comment