Sunday, 1 June 2014

Kayuhan Mingguan ~ Offroad Gertak Sanggul - Pulau Betong

Assalamualaikum dan selamat datang ke blog jurnal V34CT. Tulisan minggu ini akan menceritakan sedikit pengalaman kayuhan rakan-rakan V34CT ke Bukit Gertak Sanggul hingga ke Pulau Betong. Untuk sedikit makluman pengujung blog yang budiman sekelian, ini bukanlah kali pertama rakan-rakan V34CT meredah trek Gertak sanggul - P. Betong. Jika tidak silap penulis, ini merupakan kali yang kedua dan boleh dikatakan siri ulangan bagi aktiviti kayuhan mingguan geng V34CT.

24 Mei yang lalu, rakan-rakan V34CT yang dapat turut serta dalam kayuhan ke trek offroad Gertak Sanggul - P.Betong cuma 7 orang (Ad, Abg Din, Pak Husin, Azerul, Fisol, Jijan & penulis). Penulis juga ada menjemput rakan kayuhan dari GTB (Geng Tolak Basikal - Balik Pulau) yang berkelapangan untuk turut serta. Hanya seorang rakan penulis dari GTB yang berkelapangan untuk turut serta pada hari tersebut iaitu saudara Azlin.

Bertempat di hadapan kedai serbaneka 7-11 Desa Bayan, rakan-rakan V34CT berkumpul seawal 7.00 pagi. Yang muncul awal pagi itu, Ad dan Abg Din kemudian diikuti oleh penulis sendiri, Jijan dan Pak Husin. Ketika menunggu Azerul yang masih belum sampai, ada seorang uncle berbangsa cina berbasikal bersama rakan-rakannya menghampiri kami dan bertanyakan untuk meminjam pam tayar. Abg Din meminjamkan pam tayar basikal beliau dan kami sempat berbual dengan uncle tersebut tentang arah kayuhan mereka dan trek yang mereka akan lalui hari itu. Penulis sempat merakam keunikan pada basikal uncle tersebut yang mana beliau kreatif menghasilkan kotak kawalan yang ringkas bagi lampu, siren/hon, radio & pembesar suara.

Penulis bersama Ad, Jijan & Abg Din (tukang ambil gambar) dah sampai meetpoint.

Unik basikal yang ada kotak kawalan dibahagian tengah pemegang basikal.

Selesai mengisi angin yang kurang pada basikal beliau, uncle dan rakan-rakannya pun berlalu dari situ meninggalkan kami dengan kayuhan kearah simpang Bayan Lepas. 
Kami masih lagi menunggu kelibat Azerul yang masih belum kelihatan. 10 minit kemudian Azerul akhirnya sampai dan kami tidak membuang masa terus saja memulakan kayuhan ke Gertak Sanggul mendahului Fisol yang telah memaklumkan kami sebelum kayuhan bahawa beliau akan sedikit lewat kerana menguruskan anak beliau yang ada latihan sukan pada pagi itu. Kami akan menunggu beliau dan rakan kayuhan GTB (Azlin) di hentian akhir bas Rapid Gertak Sanggul.

Alhamdulillah cuaca baik pagi itu, kayuhan kami dari Bayan Lepas ke Gertak Sanggul mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kami sampai dihujung kaki bukit Gertak Sanggul, betul-betul dilaluan permulaan offroad. Seketika kemudian penulis dihubungi Azlin (GTB), beliau masih berada di Bukit Lama Balik Pulau dan akan bergegas untuk bertemu kami disitu. 

Fisol sampai tidak lama kemudian dan bertemu kami disitu. Atas cadangan Ad, kami bergambar dahulu di tepi laut berhadapan jeti nelayan Gertak Sanggul sementara menunggu Azlin(GTB) tiba.

Penulis tukang ambil gambar - Dari kiri : Pak Husin, Ad, Azerul, Abg Din, Jijan & Fisol

Jam menunjukan pukul 8.35 pagi ketika Azlin GTB sampai. Tanpa membuang masa kami terus saja meredah laluan offroad Bukit Gertak Sanggul. Diawal pendakian naik ke Bukit Gertak Sanggul, kami dapat melepasi tanpa sebarang masalah. Azerul yang menimba pengalaman pertama kali meredah offroad terpaksa berhenti seketika diawal pendakian dan ditemani Pak Husin merangkap Sweeper hari itu. Perlahan-lahan mereka sampai juga di checkpoint pertama Bukit Gertak Sanggul dimana penulis serta rakan-rakan lain menunggu. Kami berehat sambil mengambil gambar permandangan cantik menghadap laut.


Yang terawal sampai di checkpoint yg pertama.

Kekuatan V34CT.... kuat bergambaq kihkihkih..


Kayuhan diteruskan setelah 15 minit berehat dan bergambar. Laluan seterusnya sedikit mendaki tetapi lebih banyak menuruni bukit single trek dan kami terpaksa lebih fokus dan peka agar tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang kecelakaan.

Kami mengekori Azlin GTB dari belakang yang kelihatan telah khatam laluan tersebut. Laluan menuruni bukit semakin lama semakin mencabar dimana terdapat selekoh yang betul-betul ditepi tebing bukit. Apa yang kami risaukan akhirnya terjadi, Abg Din terbabas dari laluan ketika terlanggar akar pokok yang berada ditepi laluan dan terjatuh ketepi tebing bukit. Fisol yang berada dibelakang Abg Din membantu menarik Abg Din untuk bangun pada waktu itu kelihatan terlentang dalam keadaan bersandar dibelakang pokok yang tumbuh disekitar tebing bukit. Abg Din bernasib baik, tiada kecederaan fizikal atau kerosakan jentera dari kejadian itu. Kami semua meneruskan kayuhan hingga sampai ke checkpoint kedua di puncak bukit Pulau Betong kami berhenti dan berehat.



Bergambar dikebun durian

Azerul & Abg Din tiba jua di checkpoint kedua

Semua dah sampai di checkpoint kedua, kami akan menuruni bukit hingga ke Pulau Betong


Laluan akhir untuk menamatkan offroad Gertak Sanggul - P.Betong ialah dengan menuruni cerun bukit yang agak curam dan selekoh tajam. Disini kami lebih berhati-hati, deruan angin dan bunyi brek memecah sunyi kawasan sekeliling. Kami melepasi satu demi satu cerun bukit, melintasi kebun getah dan akhirnya sampai dikebun kelapa sawit menandakan berakhirnya laluan offroad hari itu dan kami sampai di P.Betong.


Video Downhill Gertak Sanggul - P.Betong ~ credit to Abg Din (GoPro)


Kami yang rata-rata telah kehabisan bekalan air yang dibawa bercadang untuk berhenti di Pekan Simpang Empat untuk mengisi semula botol air sebelum mendaki Jalan Bukit Lama untuk pulang semula ke tempat kami bermula pagi tadi. Azlin GTB bersurai dengan kami di persimpangan jalan dan kami meneruskan perjalanan ke Pekan Simpang Empat yang tidak jauh dari situ. Kami memilih untuk berhenti di Kedai PUZ Mart untuk berehat dan membeli air minirel sebagai bekalan untuk meneruskan baki kayuhan balik ke Desa Bayan.

Geng kuat... bergambar   @PUZ Mart

Memandangkan jam menunjukan sudah pukul 10.40 pagi kami tidak berehat lama di PUZ Mart. Kami terus sahaja menyambung kayuhan ke Bukit Lama. Dengan saki baki tenaga yang ada kami teruskan hingga sampai ke puncak Bukit Lama. Sebelum sampai ke puncak Bukit Lama, Azerul yang ditemani Pak Husin dibelakang telah mengalami kekejangan otot. Penulis mendapatkan tempat Pak Husin dan Azerul berhenti di simpang masuk Malihom dan mula menunda perlahan-lahan Azerul untuk sampai hingga ke puncak Bukit Lama. Dari atas puncak kami sama-sama menuruni bukit lama kearah Teluk Kumbar dan seterusnya Sg Batu hingga sampai di Desa Bayan.

Ad dan Jijan terus sahaja pulang dan akan kembali bertemu penulis bersama Azerul & Abg Din di Restoran Dinas. Di restoran Dinas kami melepaskan penat dan mengisi perut sebelum bersurai. Sekian dulu cerita ringkas kayuhan minggu lalu buat bacaan pengunjung blog. 

Lisa turut menemani Jijan dan rakan-rakan V34CT di Restoran Dinas Sg Ara


Bertemu kembali untuk entri minggu hadapan dimana rakan kayuhan V34CT menyambung tradisi kayuhan malam yang lama ditinggalkan. Menarik untuk dikongsikan minggu hadapan dalam cerita kayuhan malam adalah pengalaman mistik yg terjadi. Nantikan entri dari penulis... InsyaAllah...

Sekian Wassalam.


Untuk gambar-gambar yang lebih menarik sila layari link :






1 comment: