Wednesday, 11 June 2014

Kayuhan Mingguan ~ 7 Corners

Kembali lagi dengan entri terbaru. Kayuhan mingguan V34CT pada 31 May diteruskan dengan kayuhan offroad ke 7 Corners. Rakan kayuhan V34CT yang berkelapangan pada hari itu cuma Fisol, Sahar dan penulis sendiri. Kami bertiga berkumpul di Restoran Dinas Sg Ara pada jam 7.30 pagi.

Sahar yang sampai lebih awal bersarapan dahulu di Restoran Dinas manakala penulis cuma menemani beliau bersarapan sementara menunggu Fisol tiba. 10 minit kemudian Fisol sampai dan kami memulakan kayuhan ke 7 Corners melalui offroad Setia Green Sg Ara. Jangkaan penulis dan Sahar, Fisol akan membawa kami naik ke 7 Corners melalui Bukit Karpet tersasar. Kami berdua mengikut Fisol hingga sampai ke kawasan perumahan baru berdekatan Relau dan mula kayuh mendaki naik Bukit Setia Green yang akan tembus terus ke jalan besar menunju Bukit Baru Balik Pulau.

Pada awal kayuhan mendaki melalui offroad Bukit Setia Green penulis rasakan agak mencabar dengan pendakian yang berterusan sekitar 2.5KM untuk sampai ke simpang jalan yang menemukan jalan besar ke Balik Pulau. Penulis dan Fisol menunggu Sahar disimpang jalan tersebut yang agak ketinggalan dibelakang.

Dah sampai simpang jalan ke Balik Pulau dari offroad Setia Green Sg Ara

Setelah Sahar sampai, kami meneruskan kayuhan mendaki melalui jalan besar Bukit Baru menuju puncak anjung indah. Penulis mendahului kayuhan diikuti Fisol dan Sahar. Semasa mendaki naik ke anjung indah, kelihatan 3 rider lain yang sedang turut sama mendaki naik. Penulis yang sampai dahulu di anjung indah mengambil peluang bergambar disitu dengan berlatar belakangkan permandangan Balik Pulau.

Gambar permandangan Balik Pulau dari puncak Anjung Indah

Fisol yang tidak sedar akan penulis yang berhenti di Anjung Indah terus saja menuruni Bukit Baru dan menunggu di Kuil Cina berdekatan simpang offroad ke 7 Corners. Penulis yang mengagak bahawa Fisol telah terlepas menuruni Bukit Baru sempat memanggil beliau di channel V27, seketika kemudian Fisol menjawap panggilan dan memaklumkan lokasi beliau menunggu. Penulis mendapatkan Sahar yang baru saja tiba dipuncak Anjung Indah dan memaklumkan lokasi Fisol berada. 

Sebelum sempat penulis meneruskan kayuhan menuruni bukit dari Anjung Indah, terlihat rakan-rakan kayuhan dari GTB yang sampai disitu. Penulis sempat berbual pendek dengan rakan-rakan GTB sebelum meneruskan kayuhan hingga ke lokasi Fisol dan Sahar sedang menunggu.

Bergambar dulu dengan rakan-rakan GTB


Fisol, penulis dan Sahar meneruskan kayuhan offroad dari kuil cina untuk memasuki laluan ke puncak 7 Corners. Di sini penulis merasakan laluan mendaki naik ke 7 Corners berada disatu tahap yang tinggi sedikit berbanding laluan offroad Setia Green awal tadi. Ianya bermula selepas melalui jalan yang baru berturap dan lebar, kecuraman dan selekoh yang pendek tetapi single trek menyukarkan kayuhan. 

Permulaan offroad ke puncak 7 Corners


Keadaan yang lembab serta simen yang berlumut kadang kala memutarkan tayar belakang setempat. Penulis hampir saja terbabas dari laluan ketika tayar belakang berputar setempat ketika mendaki laluan berlumut. Ketika itu, kayuhan menjadi semakin berisiko dan kami lebih fokus mengawal basikal masing-masing.

Ada ketika kami berhenti, Fisol meninjau laluan yang kami ambil kerana bimbang tersilap laluan. Laluan dihadapan yang membawa kami ke puncak ditebing bukit berpokok getah rupanya laluan yang salah. Kami berpatah balik dan menuruni perlahan-lahan hingga melalui rumah pekebun cina, dimana Fisol mengesahkan bahawa itu adalah laluan yang betul.

Berhenti sekejap dilaluan... indah panorama lanskap


Dari sisa tenaga yang ada, penulis mendahului laluan single trek naik ke puncak 7 Corners. Fisol berhenti menunggu Sahar yang keletihan dibelakang kemudian sampai dan kami bertiga berehat sebentar di puncak 7 Corners.

Puncak 7 Corners. Tiada pemandangan yang menarik untuk disaksikan.


Kayuhan seterusnya kami akan menuruni single trek yang kiri kana dipenuhi belukar. Fisol meredah dahulu belukar dihadapan dan diikuti oleh penulis dan Sahar. Laluan ini betul-betul menguji keberanian sebenar seorang rider. Kita boleh tersekat atau terbabas dengan ranting belukar yang berselirat dikiri dan kanan laluan. Atau kita boleh terjatuh kerana hilang kawalan bila tayar basikal yang terlanggar lopak trek yang berbatu-batu. 

Mujur kali ini kami bertiga selamat melepasi laluan singe trek offroad tersebut. Walau ada waktu penulis hampir terbabas ketepi laluan yang berbatu-batu, kaki ini sempat menahan ditebing laluan dengan bantuan brek yang mencengkam.

Kurang 10 minit kami menuruni puncak 7 Corners tersebut dan akhirnya kami sampai disimpang naik ke puncak Bukit Karpet. Kami mendaki naik dan berehat sepuasnya di puncak Bukit Karpet kerana kami sedar kayuhan selepas itu hanyalah menuruni Bukit hingga keluar dari offroad.

Dah sampai Bukit Karpet... Last pit stop sebelum menuruni Bukit Karpet dan bersurai.

Lebih kurang 20 minit kami berehat di puncak Bukit Karpet, rider lain yang ada disitu semuanya telah beredar. Kami turut mengambil langkah sama dengan meninggalkan puncak Bukit Karpet. Kami mengambil laluan panjang menuruni Bukit Karpet yang lebih relaks. Dengan kawalan brek dan sekali sekala membuat kayuhan ketika menuruni bukit akhirnya menemukan kami dengan jalan keluar dari offroad Bukit Karpet. Kami bersurai disitu dan pulang ke rumah masing-masing dengan satu kepuasan baru iaitu menawan puncak 7 Corner (reverse).

Sekian dahulu cerita ringkas kayuhan ke 7 Corners. Bertemu lagi dilain entri insyaAllah.

Untuk gambar-gambar yang lebih menarik sila layari :






Kayuhan Malam ~ Bukit Salbiah to Strait Quay

Assalamualaikum.. salam sejahtera buat rakan-rakan kayuhan serta pengunjung jurnal blog V34CT yang setia...

Cerita kali ini yang akan penulis kongsikan bersama adalah mengenai kayuhan malam geng V34CT pada 29 Mei 2014 yang lalu. Kayuhan malam boleh dikatakan satu tradisi bagi rakan-rakan V34CT kerana sewaktu awal perjalanan group V34CT dahulu seminggu sekali akan diadakan kayuhan malam. Oleh kerana telah lama kayuhan malam ditinggalkan, maka timbul rasa rindu untuk kembali meredah kayuhan malam.

Base Station Cikgu Ruzi (9wBZI) menjadi pilihan lokasi berkumpul rakan-rakan kayuhan V34CT malam itu. Jam 9.35 malam Ad, Abg Din, Jijan, Lisa selamat sampai di rumah Cikgu Ruzi di Jalan Han Chiang. Penulis yang tiba paling akhir tangkas menyiapkan jentera. Tanpa membuang masa kami mulakan kayuhan dari Jalan Masjid Negeri menuju ke Jalan Kebun Bunga. Laluan kayuhan malam kali ini menemukan kembali kami dengan jalan ke mount eskine yang lebih dikenali dengan Bukit Salbiah dan akan berpusing balik ke Strait Quay.

Keadaan jalan yang masih sesak dengan kenderaan memaksa kami perlahankan kayuhan dan lebih berhati-hati sewaktu di Jalan Masjid Negeri menuju ke Jalan Kebun Bunga. Seterusnya kami membelok kanan dari lampu isyarat Jalan Kebun Bunga ke Bagan Jermal. Sesampainya disimpang lampu isyarat ke Mount Eskine kami membelok kekiri dan disini kelihatan kurang kenderaan yang lalu lalang.

Kami cuba cepatkan kayuhan tetapi kerana jalan yang sedikit berbukit membuatkan kayuhan kami masih perlahan. Dikiri jalan yang berbukit kelihatan tanah perkuburan cina, kami tetapkan kayuhan dalam samar cahaya lampu jalan kelihatan dihadapan menuju Bukit Salbiah.

Kami berhenti berehat ketika sampai disimpang masuk jalan ke Mount Eskine menunggu Jijan dan Lisa yang sedikit kebelakang. Suku dari laluan kayuhan telah kami tempuh, sebentar lagi kami akan mendaki jalan Bukit Salbiah. Abang Din mendahului kayuhan dengan basikal lipat "Hummer" beliau mendaki perlahan diikuti penulis dibelakang dan dituruti oleh Cikgu Ruzi, Ad, Lisa & Jijan.

Selang dua tiga minit akan ada kenderaan yang melalui jalan yang kami tempuhi malam itu. Walaupun kami sedar malam itu adalah malam jumaat, tidak sedikit pon kami fikirkan yang pelik-pelik kerana tetap fokus pada kayuhan mendaki dan berhati-hati dengan kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Penulis, Abg Din dan Cikgu Ruzi berhenti sekali lagi di puncak Bukit Salbiah menunggu Ad, Jijan & Lisa. Ketika itu, kedengaran salakan anjing yang bising yang datang mungkin dari rumah-rumah berdekatan. Seketika kemudian Ad, Jijan & Lisa pon sampai. Jam ketika itu lebih kurang pukul 10.30 malam.


Puncak Bukit Salbiah

Selesai berehat dan mengatur nafas kami bersedia untuk menuruni bukit Salbiah. Mengikut turutan yang sama, Abg Din mendahului kayuhan menuruni bukit dan diikuti rakan-rakan yang lain. Sewaktu diselekoh yang kedua menuruni bukit penulis menoleh kiri dan kanan lantas mengikut rapat Abg Din dihadapan dan Cikgu Ruzi juga sama mengikut rapat dibelakang penulis. Kami meluncur laju meninggalkan Ad, Jijan dan Lisa yang berada dibelakang hingga kami bertiga berhenti di bawah suluhan lampu jalan setelah sampai dikaki bukit berhadapan kediaman rumah orang.

Ketika menunggu Ad, Jijan & Lisa sampai, Penulis cuba untuk bertanya pada Abg Din tetapi Cikgu Ruzi mencelah dengan tiba-tiba " Ada bau wangi tadi... " . Rupanya bukan penulis seorang yang terhidu bau wangian bunga melur tadi, Cikgu Ruzi dan Lisa pon sama. Abg Din, Jijan dan Ad masih terpinga-pinga dan kurang pasti samada ada atau tidak bau yang kami maksudnya sewaktu menuruni Bukit Salbiah tadi. Kami lupakan saja kejadian tadi kerana hari pon semakin lewat malam. Masing-masing tidak sabar nak sampai ke Strait Quay dan menyambung cerita.

Kami teruskan kayuhan hingga sampai ke lampu isyarat berdekatan Maybank dan berhenti sekejap dikedai serbaneka untuk Lisa mengisi air minuman yang telah kehabisan. Membelok ke kanan  dilampu isyarat menuju terus ke Strait Quay, kami sampai dan terus masuk dikawasan laluan jeti persendirian yang menjadi tempat bot-bot mewah dilabuhkan. Kami berenam cuba untuk bergambar disitu tetapi tiba-tiba hujan turun. Kami berteduh dihadapan restoran yang telah tutup, dimana disitu kami letakan basikal dan duduk dikerusi yang siap tersedia disitu.


Yang sempat dirakam sebelum hujan tiba-tiba turun


Gambar dari kamera Abg Din. Berteduh dari hujan.

Sambil berteduh disitu, cerita-cerita mistik mula keluar satu persatu berkenaan Bukit Salbiah. Alhamdulillah, kayuhan malam itu hanya dugaan kecil yang mana menjadi pedoman bagi kayuhan malam seterusnya. Apapun tujuannya kejadian itu, kami simpan sebagai kenangan dan tidak sedikit pun melunturkan semangat untuk meneruskan kayuhan malam pada masa hadapan.

Berhenti saja hujan, kami terus saja meneruskan kayuhan ke Gurney hingga sampai ke port lepak geng radio "Teh Halia" di Georgetown. Disitu kami basahkan tekak dengan teh halia, Ad, Abg Din, Jijan dan Lisa turut memesan makanan. Sambil minum dan makan, menyambung cerita itu dan ini jam menunjukan sudah 1.30 pagi. Abg Din yang bermurah hati, membayar semua makan minum rakan-rakan V34CT malam itu. 

Yg ni la Port Teh Halia


Kami segera meninggalkan port Teh Halia dan terus menamatkan kayuhan di base station 9w2BZI. Cepat-cepat kami menyimpan jentera masing-masing dalam kenderaan. Selesai bersalaman, kami semua pon bersurai.

Sekian....  Berjumpa lagi dalam cerita kayuhan mingguan.


Sunday, 1 June 2014

Kayuhan Mingguan ~ Offroad Gertak Sanggul - Pulau Betong

Assalamualaikum dan selamat datang ke blog jurnal V34CT. Tulisan minggu ini akan menceritakan sedikit pengalaman kayuhan rakan-rakan V34CT ke Bukit Gertak Sanggul hingga ke Pulau Betong. Untuk sedikit makluman pengujung blog yang budiman sekelian, ini bukanlah kali pertama rakan-rakan V34CT meredah trek Gertak sanggul - P. Betong. Jika tidak silap penulis, ini merupakan kali yang kedua dan boleh dikatakan siri ulangan bagi aktiviti kayuhan mingguan geng V34CT.

24 Mei yang lalu, rakan-rakan V34CT yang dapat turut serta dalam kayuhan ke trek offroad Gertak Sanggul - P.Betong cuma 7 orang (Ad, Abg Din, Pak Husin, Azerul, Fisol, Jijan & penulis). Penulis juga ada menjemput rakan kayuhan dari GTB (Geng Tolak Basikal - Balik Pulau) yang berkelapangan untuk turut serta. Hanya seorang rakan penulis dari GTB yang berkelapangan untuk turut serta pada hari tersebut iaitu saudara Azlin.

Bertempat di hadapan kedai serbaneka 7-11 Desa Bayan, rakan-rakan V34CT berkumpul seawal 7.00 pagi. Yang muncul awal pagi itu, Ad dan Abg Din kemudian diikuti oleh penulis sendiri, Jijan dan Pak Husin. Ketika menunggu Azerul yang masih belum sampai, ada seorang uncle berbangsa cina berbasikal bersama rakan-rakannya menghampiri kami dan bertanyakan untuk meminjam pam tayar. Abg Din meminjamkan pam tayar basikal beliau dan kami sempat berbual dengan uncle tersebut tentang arah kayuhan mereka dan trek yang mereka akan lalui hari itu. Penulis sempat merakam keunikan pada basikal uncle tersebut yang mana beliau kreatif menghasilkan kotak kawalan yang ringkas bagi lampu, siren/hon, radio & pembesar suara.

Penulis bersama Ad, Jijan & Abg Din (tukang ambil gambar) dah sampai meetpoint.

Unik basikal yang ada kotak kawalan dibahagian tengah pemegang basikal.

Selesai mengisi angin yang kurang pada basikal beliau, uncle dan rakan-rakannya pun berlalu dari situ meninggalkan kami dengan kayuhan kearah simpang Bayan Lepas. 
Kami masih lagi menunggu kelibat Azerul yang masih belum kelihatan. 10 minit kemudian Azerul akhirnya sampai dan kami tidak membuang masa terus saja memulakan kayuhan ke Gertak Sanggul mendahului Fisol yang telah memaklumkan kami sebelum kayuhan bahawa beliau akan sedikit lewat kerana menguruskan anak beliau yang ada latihan sukan pada pagi itu. Kami akan menunggu beliau dan rakan kayuhan GTB (Azlin) di hentian akhir bas Rapid Gertak Sanggul.

Alhamdulillah cuaca baik pagi itu, kayuhan kami dari Bayan Lepas ke Gertak Sanggul mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kami sampai dihujung kaki bukit Gertak Sanggul, betul-betul dilaluan permulaan offroad. Seketika kemudian penulis dihubungi Azlin (GTB), beliau masih berada di Bukit Lama Balik Pulau dan akan bergegas untuk bertemu kami disitu. 

Fisol sampai tidak lama kemudian dan bertemu kami disitu. Atas cadangan Ad, kami bergambar dahulu di tepi laut berhadapan jeti nelayan Gertak Sanggul sementara menunggu Azlin(GTB) tiba.

Penulis tukang ambil gambar - Dari kiri : Pak Husin, Ad, Azerul, Abg Din, Jijan & Fisol

Jam menunjukan pukul 8.35 pagi ketika Azlin GTB sampai. Tanpa membuang masa kami terus saja meredah laluan offroad Bukit Gertak Sanggul. Diawal pendakian naik ke Bukit Gertak Sanggul, kami dapat melepasi tanpa sebarang masalah. Azerul yang menimba pengalaman pertama kali meredah offroad terpaksa berhenti seketika diawal pendakian dan ditemani Pak Husin merangkap Sweeper hari itu. Perlahan-lahan mereka sampai juga di checkpoint pertama Bukit Gertak Sanggul dimana penulis serta rakan-rakan lain menunggu. Kami berehat sambil mengambil gambar permandangan cantik menghadap laut.


Yang terawal sampai di checkpoint yg pertama.

Kekuatan V34CT.... kuat bergambaq kihkihkih..


Kayuhan diteruskan setelah 15 minit berehat dan bergambar. Laluan seterusnya sedikit mendaki tetapi lebih banyak menuruni bukit single trek dan kami terpaksa lebih fokus dan peka agar tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang kecelakaan.

Kami mengekori Azlin GTB dari belakang yang kelihatan telah khatam laluan tersebut. Laluan menuruni bukit semakin lama semakin mencabar dimana terdapat selekoh yang betul-betul ditepi tebing bukit. Apa yang kami risaukan akhirnya terjadi, Abg Din terbabas dari laluan ketika terlanggar akar pokok yang berada ditepi laluan dan terjatuh ketepi tebing bukit. Fisol yang berada dibelakang Abg Din membantu menarik Abg Din untuk bangun pada waktu itu kelihatan terlentang dalam keadaan bersandar dibelakang pokok yang tumbuh disekitar tebing bukit. Abg Din bernasib baik, tiada kecederaan fizikal atau kerosakan jentera dari kejadian itu. Kami semua meneruskan kayuhan hingga sampai ke checkpoint kedua di puncak bukit Pulau Betong kami berhenti dan berehat.



Bergambar dikebun durian

Azerul & Abg Din tiba jua di checkpoint kedua

Semua dah sampai di checkpoint kedua, kami akan menuruni bukit hingga ke Pulau Betong


Laluan akhir untuk menamatkan offroad Gertak Sanggul - P.Betong ialah dengan menuruni cerun bukit yang agak curam dan selekoh tajam. Disini kami lebih berhati-hati, deruan angin dan bunyi brek memecah sunyi kawasan sekeliling. Kami melepasi satu demi satu cerun bukit, melintasi kebun getah dan akhirnya sampai dikebun kelapa sawit menandakan berakhirnya laluan offroad hari itu dan kami sampai di P.Betong.


Video Downhill Gertak Sanggul - P.Betong ~ credit to Abg Din (GoPro)


Kami yang rata-rata telah kehabisan bekalan air yang dibawa bercadang untuk berhenti di Pekan Simpang Empat untuk mengisi semula botol air sebelum mendaki Jalan Bukit Lama untuk pulang semula ke tempat kami bermula pagi tadi. Azlin GTB bersurai dengan kami di persimpangan jalan dan kami meneruskan perjalanan ke Pekan Simpang Empat yang tidak jauh dari situ. Kami memilih untuk berhenti di Kedai PUZ Mart untuk berehat dan membeli air minirel sebagai bekalan untuk meneruskan baki kayuhan balik ke Desa Bayan.

Geng kuat... bergambar   @PUZ Mart

Memandangkan jam menunjukan sudah pukul 10.40 pagi kami tidak berehat lama di PUZ Mart. Kami terus sahaja menyambung kayuhan ke Bukit Lama. Dengan saki baki tenaga yang ada kami teruskan hingga sampai ke puncak Bukit Lama. Sebelum sampai ke puncak Bukit Lama, Azerul yang ditemani Pak Husin dibelakang telah mengalami kekejangan otot. Penulis mendapatkan tempat Pak Husin dan Azerul berhenti di simpang masuk Malihom dan mula menunda perlahan-lahan Azerul untuk sampai hingga ke puncak Bukit Lama. Dari atas puncak kami sama-sama menuruni bukit lama kearah Teluk Kumbar dan seterusnya Sg Batu hingga sampai di Desa Bayan.

Ad dan Jijan terus sahaja pulang dan akan kembali bertemu penulis bersama Azerul & Abg Din di Restoran Dinas. Di restoran Dinas kami melepaskan penat dan mengisi perut sebelum bersurai. Sekian dulu cerita ringkas kayuhan minggu lalu buat bacaan pengunjung blog. 

Lisa turut menemani Jijan dan rakan-rakan V34CT di Restoran Dinas Sg Ara


Bertemu kembali untuk entri minggu hadapan dimana rakan kayuhan V34CT menyambung tradisi kayuhan malam yang lama ditinggalkan. Menarik untuk dikongsikan minggu hadapan dalam cerita kayuhan malam adalah pengalaman mistik yg terjadi. Nantikan entri dari penulis... InsyaAllah...

Sekian Wassalam.


Untuk gambar-gambar yang lebih menarik sila layari link :