Wednesday, 11 June 2014

Kayuhan Mingguan ~ 7 Corners

Kembali lagi dengan entri terbaru. Kayuhan mingguan V34CT pada 31 May diteruskan dengan kayuhan offroad ke 7 Corners. Rakan kayuhan V34CT yang berkelapangan pada hari itu cuma Fisol, Sahar dan penulis sendiri. Kami bertiga berkumpul di Restoran Dinas Sg Ara pada jam 7.30 pagi.

Sahar yang sampai lebih awal bersarapan dahulu di Restoran Dinas manakala penulis cuma menemani beliau bersarapan sementara menunggu Fisol tiba. 10 minit kemudian Fisol sampai dan kami memulakan kayuhan ke 7 Corners melalui offroad Setia Green Sg Ara. Jangkaan penulis dan Sahar, Fisol akan membawa kami naik ke 7 Corners melalui Bukit Karpet tersasar. Kami berdua mengikut Fisol hingga sampai ke kawasan perumahan baru berdekatan Relau dan mula kayuh mendaki naik Bukit Setia Green yang akan tembus terus ke jalan besar menunju Bukit Baru Balik Pulau.

Pada awal kayuhan mendaki melalui offroad Bukit Setia Green penulis rasakan agak mencabar dengan pendakian yang berterusan sekitar 2.5KM untuk sampai ke simpang jalan yang menemukan jalan besar ke Balik Pulau. Penulis dan Fisol menunggu Sahar disimpang jalan tersebut yang agak ketinggalan dibelakang.

Dah sampai simpang jalan ke Balik Pulau dari offroad Setia Green Sg Ara

Setelah Sahar sampai, kami meneruskan kayuhan mendaki melalui jalan besar Bukit Baru menuju puncak anjung indah. Penulis mendahului kayuhan diikuti Fisol dan Sahar. Semasa mendaki naik ke anjung indah, kelihatan 3 rider lain yang sedang turut sama mendaki naik. Penulis yang sampai dahulu di anjung indah mengambil peluang bergambar disitu dengan berlatar belakangkan permandangan Balik Pulau.

Gambar permandangan Balik Pulau dari puncak Anjung Indah

Fisol yang tidak sedar akan penulis yang berhenti di Anjung Indah terus saja menuruni Bukit Baru dan menunggu di Kuil Cina berdekatan simpang offroad ke 7 Corners. Penulis yang mengagak bahawa Fisol telah terlepas menuruni Bukit Baru sempat memanggil beliau di channel V27, seketika kemudian Fisol menjawap panggilan dan memaklumkan lokasi beliau menunggu. Penulis mendapatkan Sahar yang baru saja tiba dipuncak Anjung Indah dan memaklumkan lokasi Fisol berada. 

Sebelum sempat penulis meneruskan kayuhan menuruni bukit dari Anjung Indah, terlihat rakan-rakan kayuhan dari GTB yang sampai disitu. Penulis sempat berbual pendek dengan rakan-rakan GTB sebelum meneruskan kayuhan hingga ke lokasi Fisol dan Sahar sedang menunggu.

Bergambar dulu dengan rakan-rakan GTB


Fisol, penulis dan Sahar meneruskan kayuhan offroad dari kuil cina untuk memasuki laluan ke puncak 7 Corners. Di sini penulis merasakan laluan mendaki naik ke 7 Corners berada disatu tahap yang tinggi sedikit berbanding laluan offroad Setia Green awal tadi. Ianya bermula selepas melalui jalan yang baru berturap dan lebar, kecuraman dan selekoh yang pendek tetapi single trek menyukarkan kayuhan. 

Permulaan offroad ke puncak 7 Corners


Keadaan yang lembab serta simen yang berlumut kadang kala memutarkan tayar belakang setempat. Penulis hampir saja terbabas dari laluan ketika tayar belakang berputar setempat ketika mendaki laluan berlumut. Ketika itu, kayuhan menjadi semakin berisiko dan kami lebih fokus mengawal basikal masing-masing.

Ada ketika kami berhenti, Fisol meninjau laluan yang kami ambil kerana bimbang tersilap laluan. Laluan dihadapan yang membawa kami ke puncak ditebing bukit berpokok getah rupanya laluan yang salah. Kami berpatah balik dan menuruni perlahan-lahan hingga melalui rumah pekebun cina, dimana Fisol mengesahkan bahawa itu adalah laluan yang betul.

Berhenti sekejap dilaluan... indah panorama lanskap


Dari sisa tenaga yang ada, penulis mendahului laluan single trek naik ke puncak 7 Corners. Fisol berhenti menunggu Sahar yang keletihan dibelakang kemudian sampai dan kami bertiga berehat sebentar di puncak 7 Corners.

Puncak 7 Corners. Tiada pemandangan yang menarik untuk disaksikan.


Kayuhan seterusnya kami akan menuruni single trek yang kiri kana dipenuhi belukar. Fisol meredah dahulu belukar dihadapan dan diikuti oleh penulis dan Sahar. Laluan ini betul-betul menguji keberanian sebenar seorang rider. Kita boleh tersekat atau terbabas dengan ranting belukar yang berselirat dikiri dan kanan laluan. Atau kita boleh terjatuh kerana hilang kawalan bila tayar basikal yang terlanggar lopak trek yang berbatu-batu. 

Mujur kali ini kami bertiga selamat melepasi laluan singe trek offroad tersebut. Walau ada waktu penulis hampir terbabas ketepi laluan yang berbatu-batu, kaki ini sempat menahan ditebing laluan dengan bantuan brek yang mencengkam.

Kurang 10 minit kami menuruni puncak 7 Corners tersebut dan akhirnya kami sampai disimpang naik ke puncak Bukit Karpet. Kami mendaki naik dan berehat sepuasnya di puncak Bukit Karpet kerana kami sedar kayuhan selepas itu hanyalah menuruni Bukit hingga keluar dari offroad.

Dah sampai Bukit Karpet... Last pit stop sebelum menuruni Bukit Karpet dan bersurai.

Lebih kurang 20 minit kami berehat di puncak Bukit Karpet, rider lain yang ada disitu semuanya telah beredar. Kami turut mengambil langkah sama dengan meninggalkan puncak Bukit Karpet. Kami mengambil laluan panjang menuruni Bukit Karpet yang lebih relaks. Dengan kawalan brek dan sekali sekala membuat kayuhan ketika menuruni bukit akhirnya menemukan kami dengan jalan keluar dari offroad Bukit Karpet. Kami bersurai disitu dan pulang ke rumah masing-masing dengan satu kepuasan baru iaitu menawan puncak 7 Corner (reverse).

Sekian dahulu cerita ringkas kayuhan ke 7 Corners. Bertemu lagi dilain entri insyaAllah.

Untuk gambar-gambar yang lebih menarik sila layari :






Kayuhan Malam ~ Bukit Salbiah to Strait Quay

Assalamualaikum.. salam sejahtera buat rakan-rakan kayuhan serta pengunjung jurnal blog V34CT yang setia...

Cerita kali ini yang akan penulis kongsikan bersama adalah mengenai kayuhan malam geng V34CT pada 29 Mei 2014 yang lalu. Kayuhan malam boleh dikatakan satu tradisi bagi rakan-rakan V34CT kerana sewaktu awal perjalanan group V34CT dahulu seminggu sekali akan diadakan kayuhan malam. Oleh kerana telah lama kayuhan malam ditinggalkan, maka timbul rasa rindu untuk kembali meredah kayuhan malam.

Base Station Cikgu Ruzi (9wBZI) menjadi pilihan lokasi berkumpul rakan-rakan kayuhan V34CT malam itu. Jam 9.35 malam Ad, Abg Din, Jijan, Lisa selamat sampai di rumah Cikgu Ruzi di Jalan Han Chiang. Penulis yang tiba paling akhir tangkas menyiapkan jentera. Tanpa membuang masa kami mulakan kayuhan dari Jalan Masjid Negeri menuju ke Jalan Kebun Bunga. Laluan kayuhan malam kali ini menemukan kembali kami dengan jalan ke mount eskine yang lebih dikenali dengan Bukit Salbiah dan akan berpusing balik ke Strait Quay.

Keadaan jalan yang masih sesak dengan kenderaan memaksa kami perlahankan kayuhan dan lebih berhati-hati sewaktu di Jalan Masjid Negeri menuju ke Jalan Kebun Bunga. Seterusnya kami membelok kanan dari lampu isyarat Jalan Kebun Bunga ke Bagan Jermal. Sesampainya disimpang lampu isyarat ke Mount Eskine kami membelok kekiri dan disini kelihatan kurang kenderaan yang lalu lalang.

Kami cuba cepatkan kayuhan tetapi kerana jalan yang sedikit berbukit membuatkan kayuhan kami masih perlahan. Dikiri jalan yang berbukit kelihatan tanah perkuburan cina, kami tetapkan kayuhan dalam samar cahaya lampu jalan kelihatan dihadapan menuju Bukit Salbiah.

Kami berhenti berehat ketika sampai disimpang masuk jalan ke Mount Eskine menunggu Jijan dan Lisa yang sedikit kebelakang. Suku dari laluan kayuhan telah kami tempuh, sebentar lagi kami akan mendaki jalan Bukit Salbiah. Abang Din mendahului kayuhan dengan basikal lipat "Hummer" beliau mendaki perlahan diikuti penulis dibelakang dan dituruti oleh Cikgu Ruzi, Ad, Lisa & Jijan.

Selang dua tiga minit akan ada kenderaan yang melalui jalan yang kami tempuhi malam itu. Walaupun kami sedar malam itu adalah malam jumaat, tidak sedikit pon kami fikirkan yang pelik-pelik kerana tetap fokus pada kayuhan mendaki dan berhati-hati dengan kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Penulis, Abg Din dan Cikgu Ruzi berhenti sekali lagi di puncak Bukit Salbiah menunggu Ad, Jijan & Lisa. Ketika itu, kedengaran salakan anjing yang bising yang datang mungkin dari rumah-rumah berdekatan. Seketika kemudian Ad, Jijan & Lisa pon sampai. Jam ketika itu lebih kurang pukul 10.30 malam.


Puncak Bukit Salbiah

Selesai berehat dan mengatur nafas kami bersedia untuk menuruni bukit Salbiah. Mengikut turutan yang sama, Abg Din mendahului kayuhan menuruni bukit dan diikuti rakan-rakan yang lain. Sewaktu diselekoh yang kedua menuruni bukit penulis menoleh kiri dan kanan lantas mengikut rapat Abg Din dihadapan dan Cikgu Ruzi juga sama mengikut rapat dibelakang penulis. Kami meluncur laju meninggalkan Ad, Jijan dan Lisa yang berada dibelakang hingga kami bertiga berhenti di bawah suluhan lampu jalan setelah sampai dikaki bukit berhadapan kediaman rumah orang.

Ketika menunggu Ad, Jijan & Lisa sampai, Penulis cuba untuk bertanya pada Abg Din tetapi Cikgu Ruzi mencelah dengan tiba-tiba " Ada bau wangi tadi... " . Rupanya bukan penulis seorang yang terhidu bau wangian bunga melur tadi, Cikgu Ruzi dan Lisa pon sama. Abg Din, Jijan dan Ad masih terpinga-pinga dan kurang pasti samada ada atau tidak bau yang kami maksudnya sewaktu menuruni Bukit Salbiah tadi. Kami lupakan saja kejadian tadi kerana hari pon semakin lewat malam. Masing-masing tidak sabar nak sampai ke Strait Quay dan menyambung cerita.

Kami teruskan kayuhan hingga sampai ke lampu isyarat berdekatan Maybank dan berhenti sekejap dikedai serbaneka untuk Lisa mengisi air minuman yang telah kehabisan. Membelok ke kanan  dilampu isyarat menuju terus ke Strait Quay, kami sampai dan terus masuk dikawasan laluan jeti persendirian yang menjadi tempat bot-bot mewah dilabuhkan. Kami berenam cuba untuk bergambar disitu tetapi tiba-tiba hujan turun. Kami berteduh dihadapan restoran yang telah tutup, dimana disitu kami letakan basikal dan duduk dikerusi yang siap tersedia disitu.


Yang sempat dirakam sebelum hujan tiba-tiba turun


Gambar dari kamera Abg Din. Berteduh dari hujan.

Sambil berteduh disitu, cerita-cerita mistik mula keluar satu persatu berkenaan Bukit Salbiah. Alhamdulillah, kayuhan malam itu hanya dugaan kecil yang mana menjadi pedoman bagi kayuhan malam seterusnya. Apapun tujuannya kejadian itu, kami simpan sebagai kenangan dan tidak sedikit pun melunturkan semangat untuk meneruskan kayuhan malam pada masa hadapan.

Berhenti saja hujan, kami terus saja meneruskan kayuhan ke Gurney hingga sampai ke port lepak geng radio "Teh Halia" di Georgetown. Disitu kami basahkan tekak dengan teh halia, Ad, Abg Din, Jijan dan Lisa turut memesan makanan. Sambil minum dan makan, menyambung cerita itu dan ini jam menunjukan sudah 1.30 pagi. Abg Din yang bermurah hati, membayar semua makan minum rakan-rakan V34CT malam itu. 

Yg ni la Port Teh Halia


Kami segera meninggalkan port Teh Halia dan terus menamatkan kayuhan di base station 9w2BZI. Cepat-cepat kami menyimpan jentera masing-masing dalam kenderaan. Selesai bersalaman, kami semua pon bersurai.

Sekian....  Berjumpa lagi dalam cerita kayuhan mingguan.


Sunday, 1 June 2014

Kayuhan Mingguan ~ Offroad Gertak Sanggul - Pulau Betong

Assalamualaikum dan selamat datang ke blog jurnal V34CT. Tulisan minggu ini akan menceritakan sedikit pengalaman kayuhan rakan-rakan V34CT ke Bukit Gertak Sanggul hingga ke Pulau Betong. Untuk sedikit makluman pengujung blog yang budiman sekelian, ini bukanlah kali pertama rakan-rakan V34CT meredah trek Gertak sanggul - P. Betong. Jika tidak silap penulis, ini merupakan kali yang kedua dan boleh dikatakan siri ulangan bagi aktiviti kayuhan mingguan geng V34CT.

24 Mei yang lalu, rakan-rakan V34CT yang dapat turut serta dalam kayuhan ke trek offroad Gertak Sanggul - P.Betong cuma 7 orang (Ad, Abg Din, Pak Husin, Azerul, Fisol, Jijan & penulis). Penulis juga ada menjemput rakan kayuhan dari GTB (Geng Tolak Basikal - Balik Pulau) yang berkelapangan untuk turut serta. Hanya seorang rakan penulis dari GTB yang berkelapangan untuk turut serta pada hari tersebut iaitu saudara Azlin.

Bertempat di hadapan kedai serbaneka 7-11 Desa Bayan, rakan-rakan V34CT berkumpul seawal 7.00 pagi. Yang muncul awal pagi itu, Ad dan Abg Din kemudian diikuti oleh penulis sendiri, Jijan dan Pak Husin. Ketika menunggu Azerul yang masih belum sampai, ada seorang uncle berbangsa cina berbasikal bersama rakan-rakannya menghampiri kami dan bertanyakan untuk meminjam pam tayar. Abg Din meminjamkan pam tayar basikal beliau dan kami sempat berbual dengan uncle tersebut tentang arah kayuhan mereka dan trek yang mereka akan lalui hari itu. Penulis sempat merakam keunikan pada basikal uncle tersebut yang mana beliau kreatif menghasilkan kotak kawalan yang ringkas bagi lampu, siren/hon, radio & pembesar suara.

Penulis bersama Ad, Jijan & Abg Din (tukang ambil gambar) dah sampai meetpoint.

Unik basikal yang ada kotak kawalan dibahagian tengah pemegang basikal.

Selesai mengisi angin yang kurang pada basikal beliau, uncle dan rakan-rakannya pun berlalu dari situ meninggalkan kami dengan kayuhan kearah simpang Bayan Lepas. 
Kami masih lagi menunggu kelibat Azerul yang masih belum kelihatan. 10 minit kemudian Azerul akhirnya sampai dan kami tidak membuang masa terus saja memulakan kayuhan ke Gertak Sanggul mendahului Fisol yang telah memaklumkan kami sebelum kayuhan bahawa beliau akan sedikit lewat kerana menguruskan anak beliau yang ada latihan sukan pada pagi itu. Kami akan menunggu beliau dan rakan kayuhan GTB (Azlin) di hentian akhir bas Rapid Gertak Sanggul.

Alhamdulillah cuaca baik pagi itu, kayuhan kami dari Bayan Lepas ke Gertak Sanggul mengambil masa lebih kurang 30 minit. Kami sampai dihujung kaki bukit Gertak Sanggul, betul-betul dilaluan permulaan offroad. Seketika kemudian penulis dihubungi Azlin (GTB), beliau masih berada di Bukit Lama Balik Pulau dan akan bergegas untuk bertemu kami disitu. 

Fisol sampai tidak lama kemudian dan bertemu kami disitu. Atas cadangan Ad, kami bergambar dahulu di tepi laut berhadapan jeti nelayan Gertak Sanggul sementara menunggu Azlin(GTB) tiba.

Penulis tukang ambil gambar - Dari kiri : Pak Husin, Ad, Azerul, Abg Din, Jijan & Fisol

Jam menunjukan pukul 8.35 pagi ketika Azlin GTB sampai. Tanpa membuang masa kami terus saja meredah laluan offroad Bukit Gertak Sanggul. Diawal pendakian naik ke Bukit Gertak Sanggul, kami dapat melepasi tanpa sebarang masalah. Azerul yang menimba pengalaman pertama kali meredah offroad terpaksa berhenti seketika diawal pendakian dan ditemani Pak Husin merangkap Sweeper hari itu. Perlahan-lahan mereka sampai juga di checkpoint pertama Bukit Gertak Sanggul dimana penulis serta rakan-rakan lain menunggu. Kami berehat sambil mengambil gambar permandangan cantik menghadap laut.


Yang terawal sampai di checkpoint yg pertama.

Kekuatan V34CT.... kuat bergambaq kihkihkih..


Kayuhan diteruskan setelah 15 minit berehat dan bergambar. Laluan seterusnya sedikit mendaki tetapi lebih banyak menuruni bukit single trek dan kami terpaksa lebih fokus dan peka agar tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang kecelakaan.

Kami mengekori Azlin GTB dari belakang yang kelihatan telah khatam laluan tersebut. Laluan menuruni bukit semakin lama semakin mencabar dimana terdapat selekoh yang betul-betul ditepi tebing bukit. Apa yang kami risaukan akhirnya terjadi, Abg Din terbabas dari laluan ketika terlanggar akar pokok yang berada ditepi laluan dan terjatuh ketepi tebing bukit. Fisol yang berada dibelakang Abg Din membantu menarik Abg Din untuk bangun pada waktu itu kelihatan terlentang dalam keadaan bersandar dibelakang pokok yang tumbuh disekitar tebing bukit. Abg Din bernasib baik, tiada kecederaan fizikal atau kerosakan jentera dari kejadian itu. Kami semua meneruskan kayuhan hingga sampai ke checkpoint kedua di puncak bukit Pulau Betong kami berhenti dan berehat.



Bergambar dikebun durian

Azerul & Abg Din tiba jua di checkpoint kedua

Semua dah sampai di checkpoint kedua, kami akan menuruni bukit hingga ke Pulau Betong


Laluan akhir untuk menamatkan offroad Gertak Sanggul - P.Betong ialah dengan menuruni cerun bukit yang agak curam dan selekoh tajam. Disini kami lebih berhati-hati, deruan angin dan bunyi brek memecah sunyi kawasan sekeliling. Kami melepasi satu demi satu cerun bukit, melintasi kebun getah dan akhirnya sampai dikebun kelapa sawit menandakan berakhirnya laluan offroad hari itu dan kami sampai di P.Betong.


Video Downhill Gertak Sanggul - P.Betong ~ credit to Abg Din (GoPro)


Kami yang rata-rata telah kehabisan bekalan air yang dibawa bercadang untuk berhenti di Pekan Simpang Empat untuk mengisi semula botol air sebelum mendaki Jalan Bukit Lama untuk pulang semula ke tempat kami bermula pagi tadi. Azlin GTB bersurai dengan kami di persimpangan jalan dan kami meneruskan perjalanan ke Pekan Simpang Empat yang tidak jauh dari situ. Kami memilih untuk berhenti di Kedai PUZ Mart untuk berehat dan membeli air minirel sebagai bekalan untuk meneruskan baki kayuhan balik ke Desa Bayan.

Geng kuat... bergambar   @PUZ Mart

Memandangkan jam menunjukan sudah pukul 10.40 pagi kami tidak berehat lama di PUZ Mart. Kami terus sahaja menyambung kayuhan ke Bukit Lama. Dengan saki baki tenaga yang ada kami teruskan hingga sampai ke puncak Bukit Lama. Sebelum sampai ke puncak Bukit Lama, Azerul yang ditemani Pak Husin dibelakang telah mengalami kekejangan otot. Penulis mendapatkan tempat Pak Husin dan Azerul berhenti di simpang masuk Malihom dan mula menunda perlahan-lahan Azerul untuk sampai hingga ke puncak Bukit Lama. Dari atas puncak kami sama-sama menuruni bukit lama kearah Teluk Kumbar dan seterusnya Sg Batu hingga sampai di Desa Bayan.

Ad dan Jijan terus sahaja pulang dan akan kembali bertemu penulis bersama Azerul & Abg Din di Restoran Dinas. Di restoran Dinas kami melepaskan penat dan mengisi perut sebelum bersurai. Sekian dulu cerita ringkas kayuhan minggu lalu buat bacaan pengunjung blog. 

Lisa turut menemani Jijan dan rakan-rakan V34CT di Restoran Dinas Sg Ara


Bertemu kembali untuk entri minggu hadapan dimana rakan kayuhan V34CT menyambung tradisi kayuhan malam yang lama ditinggalkan. Menarik untuk dikongsikan minggu hadapan dalam cerita kayuhan malam adalah pengalaman mistik yg terjadi. Nantikan entri dari penulis... InsyaAllah...

Sekian Wassalam.


Untuk gambar-gambar yang lebih menarik sila layari link :






Saturday, 24 May 2014

Video Kayuhan Malihom Repeated

Geng V34CT dah turun dari bukit Malihom dan berpatah balik dari Bukit Genting.

Thursday, 22 May 2014

Kayuhan ke Bukit Malihom ~ Repeated

Assalamualaikum... salam sejahtera dan salam 1 panda untuk para pengunjung blog V34CT. Seperti anda sedia maklum, penulis akan berkongsikan pengalaman dan aktiviti kayuhan saban minggu oleh rider-rider kentang geng V34CT.

Kali ini, penulis bawakan cerita kayuhan siri ulangan ke bukit Malihom yang terletak di daerah Balik Pulau dimana asal usul Malihom masih menjadi spekulasi antara rider V34CT yang telah sampai ke sana tempohari iaitu pada 17 Mei 2014.

Kayuhan ulangan ke Malihom ini adalah atas keinginan rakan-rakan kayuhan V34CT yang tidak berkesempatan turut serta pada kayuhan 10 Mei 2014 sebelum ini. Oleh yang demikian, penulis berjaya mengaturkan siri ulangan untuk rakan-rakan V34CT mejejaki ke Bukit Malihom.

Berjanji pada jam 7.00 pagi untuk berkumpul di kedai serbaneka 7-11, penulis yang berkayuh dari rumah sampai terlebih dahulu disitu. Kelibat rakan kayuhan yang lain masih tidak kelihatan. Tidak lama kemudian Ad, Jijan dan Lisa sampai dan diikuti oleh Pak Usin pun sampai.  Memantau dari ruang radio berfrekuensi 145.3375Mhz saluran V27, penulis dan rakan-rakan mendapat berita rakan kayuhan Wan (9w2GLP) sedang dalam perjalanan. Dalam menunggu Wan, kami cuba hubungi Abg Din yang tidak kelihatan batang tubuhnya dan tiada sebarang informasi semasa. Lisa yang menelefon Abg Din mendapat berita Abg Din kurang sihat dan gagal untuk mengikut penulis dan rakan-rakan ke Bukit Malihom kali ini.

Wan tiba dengan jalopy beliau bersama seorang rakan kerja beliau iaitu saudara Edd yang akan turut serta bersama kami. Selesai menyiapkan jentera Wan & Edd, kami semua memulakan kayuhan ke hadapan simpang jalan mahkamah untuk bertemu Sahar & Fisol yang siap sedia menunggu kami disitu.

7 rider V34CT tiba di Pasar Baru B.Lepas


Bermula dari Bayan Lepas kami 9 rider V34CT memulakan kayuhan terus merentasi Sg Batu dan berhenti di hadapan Puspakom Teluk Kumbar. Seperti rutin biasa kami berehat sebentar sambil mengatur kembali nafas sebelum mendaki naik Bukit Lama. Lisa dan Jijan mengambil langkah awal untuk mendaki dan kemudiannya kami ikut dari belakang.

Kayuhan mendaki Bukit Lama Balik Pulau bukan asing bagi kami tetapi stamina masing-masing yang membezakan kami. Jijan terpaksa berhenti menemani Lisa ketika mendaki, kayuhan yang ditinggal selama sebulan memberikan kesan buat Lisa. Sahar dan Pak Usin masih mampu meneruskan kayuhan mendaki perlahan-lahan mengejar Fisol, Ad dan penulis dihadapan. 

Kami semua tiba dipuncak Bukit Lama berhadapan laluan masuk ke Bukit Genting tidak lama kemudian. Melepaskan rasa penat, kami minum dan mengunyah bekalan yang dibawa disitu sebelum teruskan kayuhan ke simpang bukit yang dinamakan Malihom.

V34CT bergaya dihadapan kamera GoPro Ad - Puncak Bukit Lama

Kayuhan diteruskan kemudian menuruni sedikit bukit hingga ternampak papan tanda "MALIHOM" disebelah seberang kanan jalan. Dengan penuh hati-hati kami melintasi jalan yang agak banyak kenderaan yang lalu lalang pagi itu.


Jalan masuk ke Malihom

Lebih kurang 100 meter dari simpang masuk ke Malihom, pendakian yang lebih mencabar menanti kami yang baru saja selesai mendaki onroad bukit lama. Pak Usin mendahului kayuhan mendaki dan di ikuti oleh Fisol, Penulis dan rakan-rakan yang lain.

Seketika kemudian Pak Usin yang keletihan berhenti disebuah pondok cina ditepi laluan mendaki ke Malihom. Penulis dan Fisol meneruskan kayuhan hingga ke satu simpang yang mempunyai papan tanda Malihom berdekatan sebuah ukiran kayu besar hiasan. Kami berdua bergambar dikawasan tinggi yang menampakan permandangan laut dari arah Gertak Sanggul sementara menunggu rakan yang lain tiba.

Jentera penulis & Fisol berlatar belakangkan permandang laut.


Kami bergambar sebelum meneruskan kayuhan ke puncak Malihom.


Rakan-rakan V34CT yang lain tiba jua ditempat yang kami tunggu. Setelah berehat dan bergambar kami meneruskan kayuhan mendaki hingga sampai ke kawasan kolam dimana di situ terdapat banyak kayu ukiran yang menghiasi di sekitar kawasan. Jika mendongak kami akan lihat resort atau rumah percutian yang dijaga oleh pekerja warga asing disitu. Kami merakamkan pelbagai aksi kenangan disitu sebelum menyambung kayuhan ke puncak Malihom.

Aksi spontan V34CT beramai-ramai.. yeayyy!

Penulis bergambar di atas titi kolam


Om Husin dengan speda beliau..kihkihkih..


Bro Edd..welkam to V34CT

Kayuhan ke puncak Malihom hanya diteruskan oleh Ad, Jijan, Pak Husin, Fisol dan Penulis. Rakan-rakan lain telah habis kudrat untuk meneruskan pendakian ke puncak. Oleh itu, Lisa yang ditemani oleh Sahar, Edd dan Wan menunggu kami di kawasan kolam sehingga kami berpatah balik dari puncak Malihom.

Kayuhan mendaki dari kawasan kolam ke puncak Malihom benar-benar menguji rider yang berkunjung kesitu. Jalan disitu berturap simen dan bersih dijaga rapi oleh penjaga/pekerja warga asing yang diupah untuk bekerja diresort tersebut. Buat kali kedua bertandang disini, penulis menggunakan pengalaman yang ada minggu sebelum itu untuk menawan puncak Malihom tanpa henti. 

Dengan sisa tenaga yang ada akhirnya kami berlima dapat menjejakan kaki di puncak Malihom. Sayang sekali rakan-rakan lain masih menunggu dibawah. Kami berehat seketika sambil bergambar dipuncak.

Sampai sudah di puncak Malihom

V34CT @ Puncak Malihom


Kami berlima meneruskan kayuhan menuruni bukit hingga ke kawasan kolam dan berkumpul semula dengan Lisa, Edd, Wan dan Sahar. Kemudian kami semua terus saja menuruni bukit hingga keluar dari simpang masuk ke Malihom. Dari situ semuanya kelihatan ceria kerana kayuhan menuruni bukit mudah dan boleh berehat dari kayuhan dengan hanya mengawal brek.

Dah nak balik... yehaa..!  turun bukit saja..

Kayuhan terhenti seketika bila terlihat Sahar yang sudah kehadapan berada di gerai penjual durian. Godaan bau durian menguji kami, Sahar beriya mengajak kami untuk makan sebelum meneruskan kayuhan. Bukan tidak makan durian, tetapi kerana perut masih kosong dan keadaan panas ketika itu membuatkan kami bimbang kesan sampingan yang bakal terjadi sebelum tamat kayuhan ke rumah yang masih jauh. Lalu kami mengambil keputusan untuk meneruskan kayuhan,hanya tinggal Sahar menikmati keenakan durian bersama tokey durian disitu. 

Kami merentasi semula laluan pagi tadi Teluk Kumbar - Sg Batu dan sampai ke Bayan Lepas. Kami mengambil port biasa untuk berehat iaitu dikedai makan simpang jalan mahkamah (Nasi Kandar Rahim). Penulis yang sampai dahulu meletakan jentera dihujung dalam kedai dan mengambil tempat duduk sambil memesan minuman.

Tidak sampai 5 minit rakan-rakan lain pon sampai disitu. Kelihatan Edd membelek tayar belakang basikal beliau ketika sampai. Tayar belakang basikal beliau pancit tercucuk benda tajam tetapi tak diketahui terkena paku atau benda tajam yang lain. Membiarkan dahulu basikal beliau yang disandarkan ditiang kedai makan. Kami semua menikmati minuman dan berehat menghilangkan penat.

Sempat lagi pose free style kat kedai makan.. mmg kuat V34CT ni..


Penulis terpaksa meninggalkan rakan-rakan yang lain disitu lebih awal kerana majlis kenduri kahwin hari itu. Selesai membayar minuman dan bersalaman dengan rakan-rakan, penulis meneruskan lagi 5KM untuk sampai kerumah.

Demikianlah cerita ringkas yang penulis bawakan dari aktiviti kayuhan ulangan ke Malihom. Jika berkesempatan akan penulis kongsikan pula cerita kayuhan akan datang. V34CT ke Gertak Sanggul hingga ke Pulau Betong. Kali ini semua dah bersedia nak baham durian. Tunggukan cerita diminggu hadapan. Sampai ketemu lagi... "Mulakan kayuhan dengan satu rengkuhan.... terbaik V34CT... !"


Untuk gambar dan aksi yang lebih menarik layari :



Saturday, 10 May 2014

Kayuhan Mingguan ke Malihom ~ V34CT + GTB

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pengunjung setia blog jurnal V34CT. Setelah hampir 1 bulan tidak ada entri terbaru atau update dari rakan kayuhan V34CT tidak bermakna aktiviti kayuhan terhenti sama. Cuma rakan-rakan kayuhan V34CT tidak dapat beraksi bersama dalam mana-mana kayuhan dalam 2-3 minggu sebelum ini, ada yang membuat kayuhan solo dan ada juga yang menumpang event kayuhan dari group kayuhan yang lain. Maka hari ini penulis menyambungkan kisah pengalaman kayuhan minggu ini yang dirancang lebih awal tetapi plan atau laluan kayuhan terpaksa diubah disaat akhir.

Seperti yang telah dirancang sebelumnya, penulis dan rakan-rakan V34CT akan bertemu di 7-11 Desa Bayan pada jam 7.00 pagi. Laluan kayuhan yang dicadangkan sebelum ini adalah Offroad Gertak Sanggul hingga ke Pulau Betong. Oleh kerana cuaca hujan yang semakin tidak menentu pada malam sebelumnya, rakan-rakan V34CT menyatakan rasa bimbang bahaya yang mengundang jika laluan trek basah dan licin. Akhirnya semua bersetuju untuk mengubah haluan kayuhan ke jalan Bukit Baru ke Balik Pulau dan berpatah balik mengikut Bukit Lama Balik Pulau sekiranya keadaan esok pagi hujan renyai.

Pagi yang ditunggu tiba, cuaca nampak tenang dan tidak hujan. Jalan masih basah kesan hujan malam semalam. Penulis dan rakan-rakan V34CT meneruskan rancangan kayuhan. Sedikit lewat dari rancangan asal, penulis, Ad, Abg Din dan Pak Husin berkumpul di 7-11 Desa Bayan pada jam 7.15 pagi. Ketika sampai disitu, penulis dihubungi oleh Zul iaitu rakan kayuhan GTB yang bertanyakan laluan kayuhan pagi itu. Kebetulan Zul dan Rashid (GTB) juga akan berkayuh pagi itu dari Balik Pulau dan ingin turut serta bersama kami ke Offroad Gertak Sanggul. Tapi melihat keadaan awan mendung gelap kami rasa was-was untuk kesana. Akhirnya, dari perbualan singkat ditelefon antara penulis dan Zul GTB perubahan laluan dibuat saat akhir dibuat. Kami membuat kayuhan ke Malihom atas cadangan Zul GTB. Ad, Abg Din dan Pak Husin bersetuju mengikut laluan itu kerana belum pernah sampai ke situ.

Penulis, Ad, Abg Din dan Pak Husin bertemu 7-11 Desa Bayan


Laluan untuk ke Malihom, penulis dan rakan-rakan kayuhan V34CT akan menggunakan jalan biasa ke Bukit Genting Balik Pulau. Manakala Zul dan Rashid (GTB) dari Balik Pulau akan menggunakan jalan ke Bukit Genting dari Pekan Simpang Empat.

Keadaan jalan pagi sabtu itu agak banyak kenderaan kerana adanya sekolah ganti. Dengan berhati-hati kami menyusuri laluan dari Bayan Lepas, Sungai Batu dan Teluk Kumbar. Berehat sekejap dan mengatur nafas sebelum mendaki naik Bukit Lama kami meneruskan kayuhan. Lebih kurang 30 minit kayuhan kami akhirnya bertemu di atas Bukit Lama berhadapan laluan masuk ke Bukit Genting dengan rakan kayuhan GTB iaitu Zul dan Rashid.

Dari kanan : Rashid , Zul (GTB)

Penulis sempat memperkenalkan Zul dan Rashid kepada rakan-rakan V34CT yang lain. Setelah bertegur sapa kami bergambar disitu sekejap dan kemudian meneruskan kayuhan ke Malihom. Simpang laluan ke Malihom tidak jauh dari tempat kami bertemu tadi, lebih kurang 200 meter disebelah kanan jalan lama. Terdapat papan tanda kecil dengan tulisan "MALIHOM" berwarna hitam bersama tanda anak panah, amat mudah untuk sesiapa lihat sekiranya melalui jalan utama ke Balik Pulau.

Zul dan Rashid mendahului kayuhan sebagai petunjuk laluan ke Malihom. Setiba kami di laluan masuk ke Malihom, laluan mendaki menanti kami. Zul dan Rashid yang sudah biasa dengan laluan mendaki di sini kerana telah banyak kali sampai ke Malihom memulakan rentak kayuhan mendaki dan kemudian kami mengekori dari belakang.

Abg Din sedang membuat kayuhan mendaki


Zul selamba mendaki naik dengan jenteranya


Ad cuba mengekori rapat otai GTB mendaki


Laluan mendaki yang mencabar, penulis merakam aksi dari laluan mendaki


Penulis mendaki kali ini terasa lain, mungkin sebab jentera baru


Walapun laluan pendakian agak tinggi ianya tidak begitu sukar kerana jalan yang berturap simen dan lebar memudahkan sedikit kendalian dan imbangan jentera masing-masing. Jarak pendakian juga tidak terlalu panjang dan kami boleh berehat pada setiap 2 atau 3 pendakian berturut-turut. Penulis secara peribadi mengeshorkan kepada rider-rider yang lain agak keberatan untuk masuk offroad menggunakan laluan kayuhan ini kerana jalannya yang lebar berturap dan yang paling baik tahap kesukaran yang tidak keterlaluan.

Bergambar sebelum mendaki naik ke Malihom


Sampai di checkpoint pertama "kolam"


Berehat sekejap sambil bergambar ditepi kolam


Berhenti di checkpoint kedua, dah nak sampai


Dah sampai puncak Malihom


Ada kerusi rehat sambil mengadap permandangan laut dan pulau


Kami semua sampai dipuncak Malihom lebih kurang jam 9.45 pagi. Selesai berehat dan bergambar kami berpatah balik ke laluan yang sama. Menuruni laluan yang berturap dan lebar terasa mudah dan selamat. Seketika kemudian kami telah sampai dan berada di laluan masuk ke Malihom. Berhenti situ, kami bersalaman dengan Zul dan Rashid yang akan meneruskan kayuhan ke Pekan Simpang Empat dan terus pulang. Kami juga akan terus pulang tetapi berlawanan arah, kami akan menyusuri laluan Teluk Kumbar - Sg Batu dan ke Bayan Lepas. 

Penulis, Abg Din, Pak Husin dan Ad berehat digerai makan berhadapan simpang Tabung Haji. Kami minum sambil memuat naik gambar kayuhan untuk dikongsikan bersama-sama rakan-rakan V34CT. Mungkin kami akan kembali lagi ke Malihom kerana sudah ada yang tertarik dengan laluan dan kecantikan permandangan yang boleh dilihat dari aas puncak.

Sekian dahulu cerita ringkas kayuhan yang dapat penulis kongsikan disini. Untuk melihat gambar-gambar sepanjang kayuhan yang lebih menarik sila layari facebook V34CT.













Thursday, 27 March 2014

Kayuhan Mingguan ~ Offroad to Coconut Farm (Kebun Nyok)

Sabtu minggu lepas (22 Mac 2014) geng V34CT masuk offroad ke kebun nyok atau Kebun Nyiur atau dalam bahasa omputeh kata "Coconut Farm". Pengalaman yang dikongsi oleh Fisol dan Sahar yang pernah menjejakan kaki ke kebun nyok diatas bukit Sg Ara ini menarik perhatian penulis dan rakan-rakan kayuhan V34CT yang lain. Oleh itu, kami merangka plan untuk menawan laluan offroad ke kebun nyok pada pagi Sabtu 22 Mac yang lalu.

Fisol dan Sahar yang tinggal berdekatan laluan masuk ke kebun nyok menyarankan kami agar berkumpul di hadapan Surau Taman Mutiara Perdana Sg Ara pada pukul 7.45 pagi. Oleh itu, penulis seawal 7.00 pagi sudah menggolekkan tayar basikal ke kedai serbaneka 7-11 Desa Bayan untuk bertemu dengan Abang Din yang berkereta dari rumah di Seberang Jaya akan meletakkan kereta beliau disitu pada jam 7.15 pagi. Penulis dan Abg Din bertemu di kedai serbaneka 7-11 seperti yang dijanjikan dan kami sama-sama menunggu Jijan disitu. 15 minit kemudian Jijan sampai dan kami terus memulakan kayuhan ke Surau Al-Mubarak Tmn Mutiara Perdana untuk bertemu dengan Fisol dan Sahar.

Sampai di lampu isyarat dihadapan Pearl Setia Island kami belok ke kanan dan mendaki perlahan untuk sampai ke simpang Jalan Kelicap sebelum belok ke kiri terus ke lokasi Surau Tmn Mutiara Perdana. Semasa mendaki bukit Setia Pearl Island ternampak kelibat Sahar dan Fisol yang keluar dari simpang Jalan Kelicap dan terus mendaki naik bukit Setia Pearl Island. Kami (penulis, Jijan & Abd Din) terus sahaja mengikut mereka hinggalah Sahar dan Fisol kemudian berhenti dan menyatakan mereka cuma memanaskan badan sebelum kayuhan. Kami kemudian berpusing balik dan terus saja ke Surau Tmn Mutiara Perdana dan Izhar sudah pon menunggu disitu.

Landmark Setia Peral Island : Abg Din & Jijan


Geng V34CT : Abg Din & Penulis


Setelah semua sampai dan berkumpul pada masa yang dijanjikan di Surau Tmn Mutiara Perdana. Geng V34CT pon memulakan kayuhan ke Kebun Nyok. Fisol berada dihadapan dan menjadi penunjuk laluan offroad kali ini. Penulis, Abg Din, Izhar dan Jijan yang pertama kali meredah laluan ini hanya mengikut perlahan dari belakang.

Menurut Sahar jarak kayuhan kali ini lebih kurang 4KM sahaja untuk sampai ke puncak dan laluan offroad di 3KM pertama laluan kami perlu mendaki. Dipermulaan kayuhan, penulis dan Abang Din telah pon tersilap langkah. Kelewatan menukar gear membuatkan kayuhan mendaki terhenti. Kami berdua berpatah balik turun kebawah kaki bukit untuk menukar gear dan memulakan kayuhan semula. 

Fisol dan Izhar kelihatan perlahan-lahan semakin jauh mendaki keatas meninggalkan kami. Sementara Jijan dan Sahar yang berada dihadapan penulis dan Abang Din mengayuh perlahan-lahan cuba mengekori Fisol dan Izhar. Laluan dihadapan kelihatan masih mendaki dengan beberapa laluan membelok yang agak curam, ketika ini penulis sudah pon memotong Sahar, Jijan, Abang Din dan Izhar. Kelibat Fisol tidak kelihatan hinggalah penulis sampai di chekpoint pertama di Tokong Cina berdekatan sungai. 

Jijan di laluan mendatar selepas melalui kawasan mendaki

Abang Din masih boleh "peace yoo!"

Sahar dengan aksi last rider

Kami semua berehat sebentar di lokasi Tokong Cina yang berhampiran dengan kawasan sungai. Mengatur semula nafas dan meneguk minuman yang sedia dibawa masing-masing. 

Fisol, Izhar, penulis dan Jijan sampai dulu di check point Tokong Cina

Akhirnya semua dah sampai di check point Tokong Cina 

Lebih kurang 15 minit berehat disitu, kami semua meneruskan kayuhan. Laluan selepas Tokong Cina itu kata Fisol lebih mudah berbanding permulaan kayuhan mendaki tadi yang agak curam. Penulis mengambil tempat dihadapan dan cuba mencari peluang merakamkan gambar laluan dan aksi kayuhan rakan-rakan V34CT.

Laluan ke Kebun Nyok jumpa Kebun Pisang 


Memang layan laluan ke Kebun Nyok ni..  kayuhan redup bawah pokok durian


Kayuhan kami sampai ke kawasan kebun durian dan laluan disitu agak bersih dengan permandangan yang menyegarkan mata. Penulis yang berada dihadapan sampai disatu pondok atau bangsal tauke dusun durian dan berhenti untuk menunggu rakan-rakan kayuhan yang lain tiba. Kelihatan beberapa ekor itik angsa berdekatan pondok tersebut yang mungkin dibela oleh tauke dusun durian tersebut.

Kemudian kedengaran panggilan dari Jijan sebelum melintasi pondok itu dan mengelak sekumpulan itik angsa yang sedang menyudu ganas. Agak kelakar juga penulis lihat aksi Sahar yang memecut laju melepasi pondok dan mengelak dari diserang itik angsa tadi. Setelah seorang demi seorang melepasi pondok dan kumpulan angsa ganas, kami meneruskan baki kayuhan lebih kurang 1KM untuk sampai ke puncak Kebun Nyok yang kelihatan semakin dekat dihadapan.

Penulis melepas pondok dihadapan tanpa serangan ganas itik angsa


Tak lama kayuhan kami dari pondok dusun durian tadi, kami sampai di kawasan yang banyak pokok-pokok nyok yang rendah. Semakin menghampiri laluan yang dikiri kanan ada pokok nyok kami melepasi rider yang yang telah lama sampai disitu dan menuruni puncak Kebun Nyok sambil menyapa kami.

Dengan sisa tenaga yang ada, kami mendaki naik ke puncak Kebun Nyok dan terus menyandarkan basikal dibatang pokok kelapa. Kelihatan dipuncak kebun nyok itu ada rumah sarang burung walit dan seluruh kawasan kebun itu nampak bersih dan dijaga pekerja kebun nyok.

Abg Din & Sahar akhirnya selamat tiba dipuncak Kebun Nyok

Pekerja atau penjaga Kebun Nyok sedang beraksi

Kami berehat sepuasnya dengan minuman tenaga fresh dari puncak kebun nyok " Ayaq Nyok " atau bahasa penulis yang mudah disebut iaitu air kelapa pandan. Kayuhan kali ini rasa lain benar berbanding kayuhan offroad yang pernah kami terjah. Mungkin kerana laluan yang mencabar atau mungkin juga keistimewaan air kelapa yang menanti pengunjungnya disitu. 

Nindiaaa... mai hirup ayaq nyok pandan

Kami menikmati setiap minit waktu rehat dan meninjau permandangan Teluk Kumbar dan kawasan laut dari atas puncak Kebun Nyok. Sebelum kami menuruni puncak Kebun Nyok dan menuju pulang, kami bergambar kenangan dengan buah nyok ditangan.

Aksi cheerss....

Yang ni plak aksi selamba... bukan aksi bomoh buah nyok hehehe..


Kami sempat bertegur sapa dengan sekumpulan rider yang baru sampai ke puncak Kebun Nyok sebelum turun. Kayuhan turun sedikit terbantut apa bila jentera penulis mengalami kerosakan. Didapati hub tayar belakang jentera penulis telah rosak. Oleh kerana laluan yang ada dihadapan hanya menuruni bukit maka tiada penulis hanya perlu mengawal brek tanpa kayuhan. Hingga sampai di satu kawasan landai, penulis ditunda oleh Jijan hingga sampai kawasan menuruni bukit semula.

Kami sampai di hadapan Taman Mutiara Perdana jam 10.15 pagi. Izhar, Jijan dan sahar terus saja bersurai dan kembali ke rumah masing-masing. Penulis dan Abg Din mencuci jentera dihadapan rumah Fisol sebelum kami masing-masing bersurai. Fisol menghantar penulis dan basikal penulis yang meragam hari itu dengan keretanya.

Berakhir sudah cerita kayuhan ke Kebun Nyok.  Kami pasti akan kembali lagi disini. Insya Allah. Mulakan kayuhan dengan satu rengkuhan... V34CT.


Untuk gambar yang lebih menarik layari :

https://www.facebook.com/groups/V34CT