Wednesday, 20 January 2016

V34CT renew lesen bukit karpet 2016

Alhamdulillah, bertemu kembali dalam coretan seterusnya. Minggu ini penulis dan rakan-rakan V34CT meredah offroad Bukit Karpet Sungai Ara. Walaupun laluan ini bukan asing bagi kami tetapi pengalaman dulu tidak memberikan erti kerana terlalu lama telah kami pinggirkan Offroad Bukit Karpet membuatkan kami tetap merasakan cabaran yang pasti sukar kami tanggani. Moga cerita ringkas penulis dapat menggambarkan sedikit pengalaman kayuhan pertama kali bagi tahun 2016 rakan-rakan V34CT meredah laluan offroad.

17 Jan 2016 : AHAD. Kelihatan seorang rider sedang mengayuh basikal dari lampu isyarat Bukit Jambul menghala ke Relau. Jam penulis ketika itu menunjukan pukul 7.05 pagi. Penulis dan Jai mengekori dengan kayuhan yang perlahan sehingga kami berdua memotong beliau ketika menghampiri kawasan SPICE. Seperti biasa rakan-rakan V34CT akan berjumpa dan berkumpul di Restoran Dinas Sg Ara. Penulis dan Jai sampai dulu lebih kurang jam 7.15 pagi di Restoran Dinas sambil menunggu rakan-rakan V34CT yang lain disitu. Tak lama selepas itu Izhar & Ad pun sampai. Izhar dan Ad juga seperti penulis dan Jai berkayuh dari rumah ke Restoran Dinas. Kemudian Abg Din juga telah sampai yang berkereta dari rumahnya di Seberang Jaya. Abg Din tangkas mengeluarkan basikal dari dalam bonet belakang kereta dan mula memasang tayar hadapan dan seat post sambil dibantu penulis. Tak sampai 5 minit basikal Abg Din siap dan sedia untuk beraksi.

Izhar & Jai di hadapan Restoran Dinas

Abg Din sedang sibuk mengeluarkan basikal dari bonet kereta


Kayuhan kali ini hanya mengumpulkan kami berlima. Rakan-rakan V34CT yang lain sibuk dengan tugasan dan aktiviti masing-masing. Namun itu tidak mematahkan semangat untuk kami teruskan hasrat kami untuk menjejaki puncak Bukit Karpet hari itu. Tidak membuang masa, tepat jam 7.30 pagi kami berkayuh menghala ke kaki Bukit Karpet melalui jalan berdekatan deretan rumah teres hingga ke Kuil Hindu.

Kayuhan yang didahului Izhar dan diikuti oleh Abg Din, Ad, Jai & Penulis


Laluan offroad bermula dari jalan kecil yang berturap simen, disebelah kiri laluan banyak tumbuhan hijau dan belukar tebal manakala disebelah kanan pula tebing yang agak tinggi dibawahnya terdapat sungai. Kami meneruskan kayuhan melepasi permulaan laluan offroad yang jalannya berturap simen dan kemudian laluan berpasir, sedikit berbatu dan adakalanya tanah selut. Kayuhan kami membawa sampai ke satu pondok berdekatan sungai dan simpang laluan ke Bukit Karpet dan Bukit 541. Disitu kami berhenti rehat sebagai check point pertama kami.

Laluan yang berturap agak mudah untuk diredah (Jai & Abg Din)


Laluan yang sedikit mendaki dipermulaan laluan ke Bukit Karpet


Check point pertama kami di Pondok berdekatan sungai. 
Penulis selfie bersama Ad, Izhar, Abg Din & Jai


Kami tidak berehat lama di Pondok tersebut, lebih kurang 5 minit kami sudah meneruskan kayuhan semula. Kayuhan kami semakin lama semakin sukar dan kayuhan menjadi semakin perlahan, ia menandakan laluan yang kami dilalui semakin tinggi dan berbukit. Ada ketikanya kami terpaksa berhenti dilaluan bersimpang kerana ingin memastikan laluan kami ambil betul menghala ke Bukit Karpet. Risau juga penulis dan rakan-rakan sebab laluan yang nampak seakan baru dan bersimen, mengelirukan sedikit ingatan pada laluan asal yang lama dulu.

Betulkah laluan ni ? Kami berhenti seketika untuk membetulkan laluan.


Ad & Abg Din " Betul kot laluan ni.. "


Nasib baik ingatan Izhar kuat, laluan kami memang tidak salah 
lagi menuju Puncak Bukit Karpet


Dengan kesungguhan dan semangat yang ada, kami teruskan kayuhan mengikut laluan yang kami yakin ianya betul membawa kami ke puncak Bukit Karpet. Antara yang menjadi pengalaman atau kenangan lalu sepanjang laluan Bukit Karpet ialah tiang letrik yang bernombor. Sambil berkayuh kami bercerita perihal nama tiang yang dikaitkan dengan nama rakan yang pernah tersembam atau terduduk suatu ketika dulu. Menggamit nostalgia dulu, pagi yang agak sunyi tiba-tiba riuh dengan gelak tawa kami. Kami berhenti seketika, bila terlihat batu hampar besar ditebing laluan berbukit. Penulis memulakan aksi bergambar diatas batu tersebut yang berlatar kawasan bukit menghijau yang luas. Rakan-rakan lain turut mengambil peluang yang sama. 



Penulis bergambar diatas batu


Ad , Jai & Izhar menunggu giliran bergambar


Izhar dengan jentera baru 2016 beliau "Jamis 29'er"


Kayuhan bersambung selepas kami bergambar. Tenaga semakin kurang dan kaki terasa lenguh, laluan kami semakin perlukan pendakian. Kami teruskan kayuhan perlahan meredah laluan hingga ke kawasan 12 selekoh mendaki. Ketika menghampiri kawasan 12 selekoh mendaki, kami ada berselisih dengan rider-rider yang lebih awal sampai ke atas puncak Bukit Karpet. Tegur sapa menjadi kebiasaan rider, kami meringankan mulut menegur "good morning" kepada semua rider yang sempat kami temui sepanjang kayuhan.

Jam menunjukkan 8.45 pagi ketika kami semua berjaya melepasi kayuhan mendaki 12 selekoh hingga ke puncak Bukit Karpet. Sebaik sampai diatas, kelihatan ramai sekali rider-rider disitu seolah-olah ada satu event jamboree yang berlansung. Kami cuba mencari sudut kosong untuk meletakkan basikal masing-masing dan melepaskan penat sambil menghilangkan dahaga. Berehat agak lama di puncak Bukit Karpet, kami tidak melepaskan peluang bergambar sebelum turun mengikut laluan yang sama.


Bergambar dipuncak Bukit Karpet


Penulis selfie berlatarkan para rider yang ramai datang dalam kumpulan yang besar


Gambar Kenangan dilaluan Bukit Karpet


Kayuhan turun atau Downhill dari puncak Bukit Karpet tidak lama seperti ketika mendaki naik. Penulis anggarkan dalam kelajuan yang sederhana kami hanya mengambil masa lebih kurang15 hingga 20 minit untuk sampai kejalan keluar dari laluan offroad. Lebih kurang 1 jam 20 minit mendaki dan 20 minit menuruni bukit sudah cukup puas bagi rider seperti kami. Kami tamatkan acara dengan berehat sambil minum dan makan di Restoran Dinas. Kami bersurai lebih kurang jam 11.30 pagi. 


Lepak Restoran Dinas sambil minum sebelum bersurai


Sampai disini dahulu coretan ringkas penulis tentang cerita pengalaman dan aktiviti riadah rakan-rakan V34CT untuk minggu ini. Insya Allah jika minggu hadapan rakan-rakan V34CT masih berupaya untuk meredah tempat yang lain, maka penulis akan kongsikan ceritanya. Sekian dahulu.

#JanjiKayuh : Penulis aka Opie (9w2OPI)
                       Adha aka Ad (9w2NLA)
                       Zainuddin aka Abg Din (9w2LWZ)
                       Zailani aka Jai (SWAL)
                       Izhar (SWAL)



Untuk lebih banyak gambar yang menarik sila layari :







Monday, 11 January 2016

V34CT Comeback!! ~ 2016

Bismillahirahmanirahim... Alhamdulillah syukur dengan limpah kurniaNya, penulis masih diberikan kesempatan untuk meneruskan coretan aktiviti riadah dan perkongsian pengalaman rakan-rakan kayuhan V34CT. Hampir lebih setahun rakan-rakan kayuhan V34CT menyepikan diri, masing-masing sibuk dengan kerjaya & komitmen keluarga. Kini rakan-rakan kayuhan V34CT membuat kemunculan semula untuk tahun 2016. Harapan penulis agar aktiviti riadah berbasikal antara rakan-rakan kayuhan V34CT akan terus berjalan dari minggu ke minggu.

10 Jan 2016, Ahad dan seawal jam 7.00 pagi penulis telah berkayuh dengan seorang rakan kayuh baru, iaitu saudara Jai. Kami berkayuh dari Bukit Jambul menuju Restoran Dinas Sg Ara yang menjadi tempat perjumpaan semua rakan-rakan kayuhan V34CT. Menghampiri lampu isyarat dihadapan Sek Men Sg Ara, terdengar perbualan antara Wan GLP dan Pak Husin HUL di handy yang penulis bawa. Tahulah penulis, bahawa Wan GLP dan Alon SNM sudah sampai lebih awal di Restoran Dinas. Mereka berkereta membawa jentera masing-masing dari Georgetown.

Penulis dan Jai sampai di kawasan tempat letak kereta berhadapan Restoran Dinas lebih kurang 7.20 pagi. Kelihatan Wan GLP & Alon SNM sedang sibuk mengeluarkan jentera dari dalam kereta dan siap sedia untuk menyiapkan basikal masing-masing. Sejurus kemudian Ad NLA tiba yang berkayuh dari rumah di Desa Bayan Lepas. Tidak lama kemudian, Abg Din LWZ sampai dari Seberang Jaya dan cepat-cepat mengeluarkan basikal dari dalam kereta dan penulis membantu Abg Din LWZ menyiapkan basikal beliau. Akhir sekali Abg Salim SPG sampai dan di ikuti Pak Husin HUL yang hanya bermotosikal. Pagi itu, Pak Husin HUL tidak dapat turut serta kerana basikal beliau mengalami kerosakan kecil. Namun atas semangat rakan-rakan V34CT yang ramai turun dan kembali untuk meneruskan aktiviti kayuhan, beliau datang menjenguk rakan-rakan di situ.

Berkumpul di Restoran Dinas Sg Ara Jam 7.30
Dari kiri : Jai , Pak Husin HUL, Ad NLA, Alon SNM, Penulis & Abg Din LWZ

Jam 7.45 pg, Kayuhan dimulakan dari Restoran Dinas Sg Ara
Dari Kiri : Pak Husin HUL, Wan GLP, Abg Salim SPG, Alon SNM dan Ad NLA


Jam 7.45 pagi, kayuhan dimulakan dari Restoran Dinas Sg Ara. Kami seramai 7 orang mula mengayuh santai ke arah Bayan Lepas. Trafik pagi ahad tidak sesibuk hari biasa, jadi kayuhan kami lancar mengharungi jalan utama Bayan Lepas dan terus menyusuri jalan ke Sungai Batu. 

Rakan-rakan kayuhan V34CT melewati Bayan Lepas ke Sg Batu


Terpaksa lebih berhati-hati, jalan utama masih belum siap sepenuhnya. 
Lokasi di jalan Bayan Lepas ke Sg Batu


Kami meneruskan kayuhan tanpa henti hingga sampai ke Gertak Sanggul. Setibanya kami memasuki selekoh kiri ke Gertak Sanggul, keadaan trafik mulai reda sepanjang kayuhan hingga sampai ke perkampungan nelayan cina. Jam penulis menunjukan angka 8.30 pagi ketika sampai di kampung nelayan cina Gertak Sanggul. Seperti biasa, kami akan bergambar ditepi laut berdekatan jeti kayu yang usang. 

Aksi bersahaja dihadapan kamera GoPro Ad NLA


Ini pula gambar hasil dari kamera GoPro Abg Din LWZ

Penulis juga sempat "selfie" dengan Alon SNM & Abg Salim SPG


Kami teruskan kayuhan, menuju ke satu lorong yang membawa kami ke kaki bukit Gertak Sanggul. Bermula dari situ, kami akan kayuh mendaki bukit Gertak Sanggul atas satu jalan sempit tetapi berturap. Jalan atau laluan tersebut bukan asing bagi penduduk Gertak Sanggul mahupun pengayuh basikal MTB kerana itu merupakan salah satu laluan jamboree dan ia juga merupakan jalan bagi kaki pancing dan pekebun disitu. Kami perlu lebih berhati-hati dan fokus terhadap kayuhan mendaki kerana sekitar laluan sebelah kiri merupakan curam bukit dan sebelah kanan laluan adalah tebing bukit. 30 minit kemudian menghampiri selekoh laluan offroad dan menghentikan kayuhan untuk berehat sebentar dan berkumpul semula.

Laluan hujung kampung yang membawa ke kaki bukit Gertak Sanggul


Selekoh atau tempat perhentian kedua sebelum sampai ke Permandangan Indah Gertak Sanggul


Antara laluan offroad yang kami redah sekitar bukit Gertak Sanggul


Tidak berehat terlalu lama, kami teruskan kayuhan perlahan mendaki dihadapan hingga sampai ke kawasan terbuka. Bermula dari laluan kawasan terbuka itu kayuhan terasa sedikit mudah kerana laluan yang landai dan menuruni bukit. Kayuhan kami tiba-tiba sampai ke kawasan tebing bukit yang terbuka dan menghadap laut. Rupanya kami telah sampai ke permandangan indah Bukit Gertak Sanggul menghadap laut dan disitu kelihatan jelas sekali sebuah pulau kecil iaitu Pulau Betong. Kami menikmati permandangan indah dan menghirup udara segar sambil melepaskan penat disitu. Seperti yang telah kami rancang, permandangan indah Gertak Sanggul adalah destinasi kami hari itu. 

Bergambar di permandangan indah Gertak Sanggul


Batu besar yang menjadi tugu bagi rider yang sampai di situ


Melepaskan penat sambil bergurau senda dengan rakan-rakan V34CT


" V34CT was here " Gertak Sanggul



Kami kemudianya berpatah balik dari permandangan indah Gertak Sanggul dan menyusuri jalan yang sama untuk kembali ke Restoran Dinas Sg Ara. Jam menunjukan 10.35 pagi kami berjaya sampai di Restoran Dinas. Abg Din LWZ, Alon SNM dan Wan GLP siap sedia menyimpan basikal masing-masing didalam kereta. Ad NLA terus saja pulang ke rumah dan kembali dengan motosikal ke Restoran Dinas. Abg Salim SPG akhir sekali sampai dan turut menyimpan kembali jentera fullsus beliau diatas rak basikal beliau diatas kereta. 

Kelihatan ramai rider lain yang memenuhi ruang Restoran kami memilih untuk menunggu dahulu sehingga ada meja yang kosong. Dan ketika kami dapat meja yang telah pelanggan lain kosongkan, jam sudah menunjukkan 11.00 pagi. Kami memesan minuman dan makanan, sambil itu kami bertukar-tukar cerita tentang kayuhan yang lalu. Kami beredar lebih kurang jam 12.00 tengah hari dan masing-masing tersenyum dengan pengalaman dan kemunculan semula V34CT. Minggu hadapan rakan-rakan V34CT akan teruskan kayuhan. Moga tahun 2016 menjadi saksi kebangkitan semangat rakan-rakan kayuhan V34CT. 

Sekian dahulu coretan ringkas dari penulis pada entri pertama untuk tahun 2016. Ayuh teruskan kayuhan. Sampai berjumpa lagi. Terima kasih dari penulis "Opie - OPI".




Untuk lebih banyak gambar yang menarik sila layari :