Monday, 17 February 2014

Kayuhan Offroad ~ Sg Ara Scenic View

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan-rakan V34CT serta pengunjung setia blog jurnal kayuhan V34 Cycling Team.

Bertemu lagi dicoretan minggu ini, penulis bawakan cerita kayuhan offroad laluan Sg Ara Scenic View. Kisah kayuhan kali ini yang agak berbeza dari kayuhan minggu lepas kerana kayuhan minggu ini yang bertarikh 16 Feb 2014 akan meredah laluan offroad Sg Ara hingga ke satu kawasan yang dinamakan Scenic View atau permandangan indah oleh para riders tegar disitu.

Penulis sebelum ini telah pun tertarik dengan cerita dan gambar kayuhan yang dikongsikan bersama oleh rakan kayuhan V34CT iaitu Sahar yang pernah membuat kayuhan dan sampai di trek offroad ke Sg Ara Scenic View. Oleh itu, penulis mengharapkan Sahar dapat menjadi petunjuk arah laluan bagi rakan-rakan V34CT yang berminat untuk meredah offroad pada pagi Ahad itu.

Jam 6.55 pagi penulis yang memulakan kayuhan dari rumah di Bukit Jambul sampai ke Restoran Dinas Sg Ara tepat jam 7.15 pagi. Seperti yang dirancang oleh penulis dan Sahar sebelum ini, semua rakan-rakan diminta berkumpul jam 7.15 pagi di Restoran Dinas Sg Ara. Ketika penulis sampai, masih belum kelihatan rakan-rakan V34CT yang lain. Lalu penulis terus saja ke kedai serbaneka 7-11 bertentangan Restoran Dinas untuk membeli roti dan chocolate bar sebagai bekalan tenaga sewaktu kayuhan hari itu. Selesai dengan urusan belian bekalan untuk hari itu, diluar 7-11 penulis memeriksa mesej dari group whatapps kalau-kalau ada rakan yang sudah sampai. "Saya d happy mart depan dinas... singgah beli ayaq sat" mesej dari Izhar yang menunjukkan dia telah sampai disitu. Penulis mendapatkan Izhar disitu dan kami berdua menunggu kelibat Sahar yang sepatutnya telah sampai disitu.

Seketika kemudian, Ad muncul dan tercari-cari rakan-rakan V34CT di Restoran Dinas. Mungkin Ad tidak perasan yang penulis dan Izhar sedang menunggu di hadapan kedai Serbaneka Smile beliau kelihatan sedang membetul-betulkan jentera seketika di hadapan Restoran Dinas. Sahar yang berkereta kemudian tiba dan meletakan kereta dihadapan kawasan parking Restoran Dinas. Rupa-rupanya beliau membawa 2 orang lagi rakan kayuhan bersama hari itu. Penulis, Izhar dan Ad menunggu Sahar dan 2 orang rakan beliau menyiapkan jentera masing-masing yang kemudiannya mereka bersarapan ringkas sebelum mendapatkan kami di hadapan kedai Serbaneka Smile.

Penulis, Izhar, Ad dikenalkan kepada Fisol & Mirul oleh Sahar pagi itu dan tanpa melengahkan masa kami terus saja memulakan kayuhan lebih kurang jam 7.45 pagi naik ke Sg Ara Temple iaitu jalan masuk offroad Bukit Karpet Sg Ara.

Kami bersyukur, pagi itu cuaca kelihatan baik tanpa ada tanda-tanda hari akan hujan. Ia memudahkan lagi kayuhan kami kerana laluan atau trek offroad kering bebas dari kehadiran lumut-lumut yang akan menjadikan jalan licin. Kayuhan kami dipermulaan trek lancar dan seterusnya kami sampai di checkpoint pertama di sebuah pondok sebelum memasuki simpang mendaki disebelah kanan.

Selepas berehat sebentar, kami berenam (Penulis, Izhar, Sahar, Ad, Fisol dan Mirul) kemudiannya meneruskan kayuhan mendaki yang menandakan laluan offroad berikutnya semakin mencabar. Di 3KM pertama kayuhan offroad ini, kami melalui laluan yang sama untuk ke puncak Bukit Karpet yang sebelum ini penulis dan rakan-rakan V34CT pernah sampai. Kemudiannya Sahar yang kayuh dihadapan membawa kami ke laluan satu lorong merentasi pokok getah. Menurut Sahar laluan tersebut akan membawa kami ke kawasan kebun. Tapi sebelum sampai disitu kami perlu melepasi kayuhan mendaki bermula dari laluan satu lorong kawasan pokok getah.

Penulis dan rakan-rakan V34CT telah sampai dikawasan kebun.

Setelah sampai di kawasan kebun, kami berehat sebentar. Masing-masing mengatur kembali nafas dan memulihkan tenaga setelah meredah kayuhan dakian dalam jarak yang pendek tetapi banyak. 

Kami meneruskan kayuhan 10 minit kemudian, meninggalkan kawasan kebun dan menuju laluan yang mana penulis rasakan agak mudah kerana laluan berikutnya adalah menuruni cerun hingga sampai ke kawasan dusun berpagar kami membelok kiri. Kami menyusuri laluan satu lorong dari situ yang kemudianya tiba di laluan yang bersimpang 2, Sahar memberikan arah supaya kami mengambil laluan kiri dan mendaki kawasan kebun pisang. Fisol yang ketika ini berada dihadapan terus saja mendaki di ikuti Ad, penulis dan Izhar meredah laluan satu lorong yang dikiri kanan terdapat pokok pisang dan batu-batu besar. Melihatkan Sahar dan Mirul yang agak ketinggalan dibelakang kami berhenti seketika dan menunggu mereka. Seketika kemudian, Mirul yang ditemani Sahar tiba dengan menolak basikal. Kelihatan Mirul sudah seakan keletihan dan kehabisan tenaga. Sahar dan Fisol menasihati beliau untuk berpatah balik dan mengambil laluan terus turun ke Sg Ara. Mirul akur, dan memilih untuk berpatah balik dan kami berlima meneruskan kayuhan ke Scenic View.

Kayuhan kami mula memasuki laluan mendaki yang agak tinggi dimana laluan bertanah kering berbatu dan penuh dengan akar pokok yang berselirat. Dengan agak berhati-hati kami cuba untuk mengimbang basikal ketika kayuhan mendaki di laluan tersebut. Ada kalanya, tayar belakang basikal terasa berpusing seakan terbabas kerana terlanggar akar pokok atau batu-batu longgar disekitar laluan mendaki. Ini membuatkan kami lebih fokus dan sangat berhati-hati. Sekali dua penulis dan rakan-rakan mengambil keputusan menolak naik basikal di laluan mendaki yang rasanya sangat berbahaya untuk dikayuh. Tapi itu tidak melemahkan semangat kami untuk meneruskan kayuhan hingga sampai ke Scenic View.

Akhirnya, kami sampai juga di kawasan Scenic View yang dinyatakan oleh rider tegar yang pernah sampai disitu. Panorama atau view yang boleh dilihat dari situ adalah kawasan metropolitan atau kawasan bandar arah Relau.

Kamera penulis yang sempat merakam permandangan kawasan Metropolitan Relau.


Puncak Sg Ara Scenic View - V34CT dah tawan.


Kami kemudian berehat sebentar setelah sampai di satu kawasan berdekatan rumah pekebun yang kelihatan tidak jauh dari situ. Kedengaran bunyi kenderaan yang melalui jalan raya tidak jauh dari laluan offroad yang sedang kami berhenti untuk rehat. Dari Fisol dan Sahar, penulis diberitahu bahawa lokasi waktu itu berdekatan dengan jalan raya Anjung Indah ke Balik Pulau. 


Kelihatan rumah pekebun dari tempat kami berhenti rehat.


Tinggal berlima (Dari kiri Izhar, Fisol, Penulis, Sahar dan Ad) 
 Rehat sebentar dikawasan berdekatan jalan besar menuju Balik Pulau.


10 Minit kemudian setelah berehat dan bergambar kami meneruskan kayuhan. Sebelum itu sahar telah memesan kepada semua agar berhati-hati di laluan menuruni cerun curam dihadapan. Kawasan sekitar laluan cerun tersebut merupakan kawasan air terjun yang kering. Apa yang membuatkan kayuhan menuruni cerun itu lebih bahaya adalah kerana kawasan itu penuh dengan batu-batu besar. Sahar menuruni cerun itu terlebih dahulu dengan brek yang mencengkam kedua-dua tayar basikalnya, perlahan dan dalam keadaan imbangan yang terkawal beliau menunjukan kepada kami.

Inilah cerun berbatu yang terpaksa kami tempuhi.


Giliran Fisol menunjukan aksi menuruni cerun berbatu.


Cerun curam dan berbatu tersebut bukan halangan. Kami berlima berjaya menuruni cerun curam tersebut dengan selamat dan mengambil peluang bergambar dikawasan air terjun kering disitu.

Bersahaja. V34CT dah sampai sini dah.


Kayuhan sudah sampai ke penghujungnya. Menurut Sahar, laluan seterusnya banyak menuruni bukit dan agak curam. Kami meneruskan kayuhan dari kawasan air terjun kering melalui kawasan dusun yang mempunyai laluan satu lorong. 

Laluan yang mencabar ketika menuruni bukit.


Ketika menuruni bukit dilaluan satu lorong, tiba-tiba Sahar terbabas dan terjatuh bersama-sama basikal beliau. Izhar dan Ad yang berada dibelakang Sahar terus saja membantu ketika itu. Nasib menyebelahi beliau kerana terjatuh dikawasan berumput dan dipenuhi lalang. Tiada kecederaan serius yang berlaku, cuma sedikit calar dibahagian lengan Sahar begitu juga keadaan basikal Sahar juga dalam keadaan baik. Melihatkan keadaan Sahar yang tiada apa-apa, kami terus saja kayuhan mengikut laluan dihadapan.

Kayuhan 1.5KM terakhir agak mudah, hanya menuruni laluan berturap yang menjadi laluan bagi pekebun yang tinggal disekitar kawasan itu. Kami akhirnya sampai dikawasan perumahan baru di Sg Ara/Relau. Dikaki bukit itu kami lihat kawasan Rumah Teres 2 tingkat, apartment dan kawasan rumah-rumah elit yang baru dibina. Kami kemudian bergambar dibelakang landmark "Setia Green" sebelum bersurai.

Belakang kami "Setia Green" Landmark dimana tempat 
kami menyudahkan kayuhan offroad hari itu.


Meter Cateye penulis mencatat 15KM ketika itu. Walaupun begitu penulis dan rakan-rakan tetap berasa puas dengan kayuhan offroad kali ini. Penulis dan rakan-rakan bercadang untuk kembali meredah laluan ini dimasa akan datang bersama rakan-rakan V34CT yang tidak dapat turut serta kali ini. 

Catatan jarak dan masa kayuhan 


Sampai disini saja cerita kayuhan V34CT untuk minggu ini. Berjumpa lagi kita dikayuhan akan datang... Assalamualaikum...73. cerio.


Untuk gambar yang lebih menarik sila layari :



Wednesday, 12 February 2014

Jersey V34CT terkini ~ Nantikan kemunculanya...

Design by Ad (9W2NLA)

Kayuhan Mingguan ~ Butterworth to Penaga

Assalamualaikum dan salam contact perdana buat semua rakan-rakan V34CT dan para pengunjung jurnal blog V34CT. Entri blog kali ini akan berkongsi pengalaman kayuhan rakan-rakan V34CT dari Jeti Sultan Abdul Halim (Butterworth) hingga ke Pekan Penaga.

Hasil cadangan dan sembang-sembang untuk kayuhan mingguan antara rakan-rakan V34CT dalam group whatapps telah mencetuskan idea untuk kayuhan ke tanah besar. Ahad, 8-Feb-14 kami merealisasikan idea merentasi laut melalui Jeti Raja Tun Uda ke Butterworth menggunakan perkhidmatan feri.

Penulis yang mempunyai pengalaman kayuhan ke Pekan Penaga sebelum menggalas tugas mengaturkan xtvtx kayuhan kali ini. Seramai 13 orang yang dapat turut serta bagi kayuhan kali ini termasuk penulis. Kami semua akan berkumpul di Jeti Raja Tun Uda seawal 7.15 pagi.

Pada pagi hari kejadian, Fahmi aka Pak Husin (9W2HUL) , Jijan & Lisa yang memulakan kayuhan dari Sg Ara. Sahar juga dari Sg Ara berkereta membawa jentera ke Jeti Raja Tun Uda. Izhar dan Siti Hajar dari Sg Tiram juga berkereta membawa jentera ke Jeti Raja Tun Uda. Manakala penulis (9W2OPI) yang seawal 6.30 pagi memulakan kayuhan dari Bkt Jambul bertemu dengan Shahrul (9W2SNM) yang telah menunggu seawal 7.00 pagi di laluan motosikal Jelutong Expressway.

Penulis dan Shahrul sampai ke Jeti Raja Tun Uda lebih kurang 7.20 pagi dan kelihatan disitu, Sahar, Izhar dan Siti Hajar telah pon berada dilaluan motosikal masuk ke Feri. Kelibat Pak Husin, Jijan dan Lisa masih belum kelihatan menandakan mereka sedikit lewat dan masih dalam perjalanan ke sini.

Jam 7.20 pagi di Jeti Raja Tun Uda P. Pinang. (izhar, jahuri, shahrul & sahar)

Sementara menunggu Pak Husin, Jijan & Lisa sampai, penulis menerima panggilan telefon dari rakan sekerja Nizam (9W2ZTB) yang ingin turut serta kayuhan pagi itu iaitu saudara Jahuri. Setelah memaklumkan lokasi kami, Jahuri yang kami anggap sebagai rakan baru kayuhan dalam V34CT sampai lebih kurang 10 minit kemudian. Tidak lama kemudian, Pak Husin, Jijan & Lisa pula sampai dan kami tidak membuang masa terus saja memasuki laluan motosikal untuk memasuki Feri.

Dah naik Feri... Penulis sedang memaklumkan lokasi kepada 
Abg Din, Azerul & Sham di seberang sana.

Jam menunjukan 8.20 pagi ketika Feri berlabuh di Pengkalan Sultan Abdul Halim (Butterworth). Kami terus ke lokasi kawasan letak kereta banggunan Tabung Haji dimana kami sepatutnya berjumpa jam 8.00 pagi. Kerana kami sedikit terlewat, Abg Din (9W2LWZ), Azerul dan Sham bergerak ke Gerai Makan berdekatan CIMB bank Taman Selat untuk minum sambil menunggu kami. 



Dah sampai depan banggunan Tabung Haji, tapi Abg Din, Azerul & Sham tiada disitu.


Penulis cuba menghubungi Abg Din bagi mengetahui lokasi terkini.


Berjumpa Azerul, Abg Din & Sham di Kedai Makan berdekatan Taman Selat


Malang tidak berbau, Azerul mengalami kecederaan buku lali ketika menunggu ketibaan kami di Kedai Makan berdekatan Taman Selat. Sham & Abg Din ada ketika kaki beliau terpelecok semasa berjalan ke dalam kedai makan tersebut. Kami yang dimaklumkan oleh Azerul ketika sampai disitu agak terkejut dan pada mulanya kami berasakan Azerul hanya bergurau. Setelah melihat sendiri kesan benjol dibuku lali kaki kanannya, kami menasihatkan Azerul untuk tidak meneruskan kayuhan. Azerul yang agak keberatan untuk pulang bertekad untuk teruskan kayuhan setakat yang beliau rasa mampu. 

Kami memulakan kayuhan dari situ dan melalui Lebuhraya Bagan Ajam, ketika itu Abg Salim (9W2SPG) memaklumkan dalam group whatapps yang beliau akan turut serta dan lokasi beliau berada dalam Feri yang baru bergerak menuju ke tanah besar. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan kayuhan dan akan menunggu Abg Salim di Pantai Bersih.

Kayuhan melalui highway Bagan Ajam


Azerul yang cedera tetap kayuh.. Abg Din tolong tengok sama Azerul

Abg Salim (jersey biru) sampai di Pantai Bersih tempat kami berhenti dan menunggu beliau.


Kayuhan diteruskan, apabila Abg Salim selamat sampai ke tempat kami berhenti menunggu beliau di Jalan Pantai Bersih. Laluan seterusnya kami akan menyusuri Taman Robina hingga ke Taman Teluk Air Tawar. Kayuhan santai kami akhirnya sampai ke Gerai Roti Canai Pak Aziz bersebelahan Sek Men  Keb Teluk Air Tawar. Kami dikecewakan kerana Gerai Roti Canai Pak Aziz tutup pada hari itu. Terus saja kami meneruskan kayuhan ke Pekan Penaga. Sebelum sampai Pekan Penaga kira-kira 10KM dari kawasan Teluk Air Tawar, kami berhenti rehat dan bersarapan di Gerai Pak Tard Roti Canai. 

Tak dapat roti canai Pak Aziz, Pak Tard pon jadi lah..


Semua pakat order roti canai


Jahuri, Izhar & Siti pon order roti canai jugak kot


Dalam masa menunggu order dan menikmati sarapan, kami bersembang-sembang akan destinasi kayuhan hari ini. Meneka-neka jarak Pulau Sayak dari Teluk Air Tawar, sudah ada yang memasang angan-angan untuk lajak ke Pulau Sayak. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk hanya berpatah balik setelah sampai ke Pekan Penaga. 

Lebih kurang 45 minit kami berhenti bersarapan di Gerai Pak Tard kami teruskan kayuhan ke Pekan Penaga. Sampai ke simpang Pekan Penaga, jalan kelihatan sibuk dengan pasar siang dimana kenderaan perlahan melalui jalan sehala. Kelibat Shahrul, Azerul, Abg Salim, Sham, Jahuri, Jijan, Lisa, Izhar dan Siti Hajar sudah tidak kelihatan ketika melepasi kawasan sibuk Pasar Siang, Pekan Penaga. Pak Husin, Abg Din, Sahar dan penulis membuat pusing balik dan berhenti di pondok hentian bas berhadapan Bazaar Penaga. Disitu Pak Husin memanggil Abg Salim dan rakan-rakan lain menggunakan radio yang dibawa (Channel V27). Rupa-rupanya Abg Salim dan Sham terlajak mengikut laluan untuk terus ke Pulau Sayak. Terus saja mereka berpatah balik dan bertemu kami semula di pondok hentian bas. Kami terus saja meneruskan kayuhan menyusuri jalan Penaga II, Teluk Air Tawar, Bagan Ajam dan akhir sekali bersurai dengan Azerul, Abg Din & Sham di Jeti Sultan Abdul Halim. Mereka akan meneruskan kayuhan pulang ke rumah masing-masing di Mak Mandin (Azerul), Seberang Jaya (Abg Din & Sham).

Penulis yang ditemani Shahrul, Pak Husin, Abg Salim, Izhar & Siti Hajar, Jijan & Lisa dan Jahuri terus saja memasuki Feri ke Pengkalan Raja Tun Uda.


Jam ketika itu sudah menunjukan pukul 12.30 tgh hari bila Feri berlabuh di Pengkalan Raja Tun Uda. Turun saja dari Feri Sahar, Izhar & Siti Hajar bersurai dan menuju kawasan letak kereta untuk menyimpan basikal dan terus pulang. Penulis bersama-sama Pak Husin, Shahrul, Jahuri, Abg Salim, Jijan & Lisa meneruskan kayuhan ke Astaka Padang Kota untuk berehat dan mengisi perut. Sekali lagi kami dikecewakan kerana semua gerai disitu tutup cuma ada satu gerai saja yang buka disudut paling hujung. Kerana tiada pilihan kami melabuhkan punggung digerai itu dan memesan makanan dan minuman. 

Selesai berehat disitu, tiba untuk Jijan & Lisa, Pak Husin dan penulis meneruskan kayuhan pulang ke rumah dari Padang Kota. Abg Salim terus saja pulang ke Kuarters Balai Polis Central, Shahrul & Jahuri berpecah di Jalan Sg Pinang dan meninggalkan kami berempat meneruskan kayuhan dari Jelutong Expressway ke Bkt jambul dan Sg Ara. Penulis akhir sekali berpecah dengan Pak Husin, Jijan dan Lisa ketika sampai di lampu isyarat Bkt Jambul. Mereka akan meneruskan kayuhan lebih kurang 4KM lPak untuk sampai ke rumah masing-masing.

Meter cat eye penulis mencatatkan 67KM jarak kayuhan hari itu setelah sampai di rumah. Terima Kasih pada semua rakan-rakan V34CT yang turut serta kayuhan dari Butterworth ke Penaga. Mungkin lain masa kita akan buat kayuhan ke Pulau Sayak InsyaAllah. Jangan putus asa dan jangan cepat mengalah.. " dengan satu rengkuhan.. mulakan satu kayuhan.. " Syabas V34CT.



Untuk gambar yang lebih menarik sila layari :